KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) menumpaskan aktiviti prebet sapu menerusi operasi yang dijalankan selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu di sekitar Jalan Silang, Jalan Yap Kwan Seng dan pusat bandar.
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, sebanyak tiga kenderaan telah ditahan dan disita dalam operasi berkenaan selepas didapati melakukan kesalahan termasuk salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada lesen pengendali serta kesalahan teknikal.
“Dua daripada kenderaan tersebut dipandu warga Bangladesh, manakala satu lagi dipandu warga tempatan.
“Tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pemandu dan pemilik kenderaan mengikut Seksyen 80 dan Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD), Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta peraturan berkaitan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Hamidi berkata, JPJ menegaskan kepada semua pemilik kenderaan agar tidak membenarkan warga asing memandu kenderaan milik mereka tanpa lesen selain tidak menyalahgunakan LKM bagi tujuan perniagaan.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pemilik kenderaan tersebut,” tegasnya.
Menurutnya, penguatkuasaan itu merupakan langkah terakhir kerana pelaksanaan advokasi dan khidmat nasihat sentiasa diutamakan oleh setiap anggota bertugas.
“Semua pengguna jalan raya diharap dapat memahami bahawa setiap peraturan dan undang-undang yang ditetapkan bukan bertujuan menghukum.
“Keselamatan jalan raya bukanlah perkara yang boleh diambil ringan kerana ia melibatkan nyawa orang ramai,” katanya.
Tegasnya, pematuhan peraturan serta undang-undang perlu dilaksanakan demi menyelamatkan nyawa ribuan pengguna jalan raya.
“Orang awam digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang melalui saluran rasmi seperti aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my