26 perusahaan dikenakan penalti, terlibat kartel tipuan bida

Iklan
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali ketika sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 26 perusahaan dikenakan penalti berjumlah RM97.31 juta kerana terlibat kartel penipuan bida.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan itu dikenakan berdasarkan Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, keputusan pelanggaran kartel tipuan bida disiarkan di laman web Suruhanjaya Persaingan malaysia (MyCC) dan saluran media secara meluas.

"Ia boleh dijadikan rujukan kementerian dan agensi kerajaan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya dalam mempertimbangkan dan menguruskan perolehan Kerajaan.

Iklan

"MyCC juga mengalu-alukan kerjasama lanjut dalam menjalankan advokasi untuk memberi kesedaran tentang isu kartel tipuan bida dalam perolehan awam," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Sementara itu mengenai tindakan kerajaan dalam mengawal kenaikan harga barang, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menjelaskan, strategi A4.3 merangkumi penambahbaikan infrastruktur, sektor peruncitan, penyediaan platform untuk ketelusan harga dan penguatkuasaan kawal selia secara menyeluruh.

Iklan

Menurutnya, ia termasuk pembangunan repositori harga dan bekalan untuk menyediakan maklumat bagi memastikan ketelusan harga di sepanjang rantaian bekalan.

"RMK13 akan menumpukan kepada pembangunan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2026–2030 yang akan memfokuskan beberapa isu utama rakyat seperti makanan, kesihatan, pendidikan, perumahan, pengangkutan, pendapatan dan utiliti.

"Pelan ini juga dibangunkan bagi memperkukuh perancangan, pelaksanaan dan pemantauan strategi bagi menangani kos sara hidup dengan memberi tumpuan antara lain kepada penstabilan harga barangan dan perkhidmatan serta pengurusan subsidi," ujarnya.

Mengenai pemberian subsidi diesel, Armizan memaklumkan, Kementerian Kewangan juga telah bersetuju untuk memperluaskan pemberian subsidi diesel kepada pengusaha feri dan bot penumpang di pulau-pulau utama termasuk Pulau Tioman.

Menurutnya, perluasan subsidi ini turut melibatkan pengoperasian feri roll on roll off (RORO) yang memberi kemudahan kepada penduduk setempat dan pelancong membawa kenderaan dari pulau ke tanah besar dan sebaliknya.

"Harga subsidi diesel bagi feri penumpang dan feri RORO ditetapkan pada kadar RM2.50 seliter, dengan jumlah maksimum subsidi yang boleh dituntut adalah 50 sen seliter.

"Kerajaan percaya dengan adanya kemudahan subsidi, ia dapat membantu mengurangkan kos operasi pengusaha feri dan menstabilkan kadar tambang, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk tempatan serta merancakkan semula sektor pelancongan di kawasan terlibat," jelasnya.