SEPANG - Peguam kepada pelawak yang menghadapi pertuduhan kes dadah, Along Cham membangkitkan isu agar pihak pendakwaan menasihati saksi untuk tidak memberikan dan mengeluarkan sebarang komen yang bersifat prejudis terhadap selebriti itu.
Zaleha Al-Hayat yang mewakili Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad berhujah, kenyataan saksi iaitu isteri kepada anak guamnya adalah bersikap prejudis.
"Dalam hal ini, pihak kami dimaklumkan oleh anak guam bahawa isteri beliau, Afreena yang saya percaya sebagai saksi utama pendakwaan telah memuat naik kenyataan di laman Instagram bahawa tertuduh adalah seorang penagih dadah," katanya dalam prosiding di hadapan Majistret Mahkamah Sepang, Khairatul Animah Jelani pada Khamis.
Tegas Zaleha, kenyataan saksi berkenaan telah diambil oleh pihak media dan dilaporkan di beberapa portal dan akhbar berita tempatan.
"Kenyataan itu adalah bersifat prejudis serta menghukum tertuduh kepada seorang yang bersalah sedangkan anak guam kami masih belum lagi didapati bersalah pada peringkat ini dan kes ini masih belum dibicarakan," jelas beliau.
Khairatul Animah mengarahkan mahkamah merekodkan isu yang dibangkitkan peguam pembelaan selain pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Luvithaa Veerasamy mengambil maklum mengenai perkara tersebut.
Mahkamah kemudian menetapkan 25 September bagi sebutan semula kes termasuk keputusan representasi yang dikemukakan Along Cham.
Berdasarkan pertuduhan, Along Cham,42, didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, jam 3.10 petang 14 Disember lalu dan dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, pelawak itu didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis sama seberat 49.61 gram di lokasi, masa dan tarikh sama dan dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39A(1) akta sama.
Sementara pertuduhan pindaan ketiga pula, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' ke dalam badan pada 10 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, pada tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38 B akta sama.
Jika sabit kesalahan, Along Cham boleh denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.