KUALA LUMPUR - Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 bagi bacaan kali pertama dibantah beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bangkit menggunakan peraturan Mesyuarat 54, menggesa bacaan kali kedua atau sesi perbahasan pada minggu depan ditangguhkan selain RUU tersebut perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
"RUU ini sudah menjadi percakapan awam di luar sana yang begitu hebat. RUU ini tidak dimaklumkan dan diberi kefahaman jelas sehingga menimbulkan kontroversi.
"Di tangan saya ada satu surat yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi kepada Menteri Peruhaman dan Kerajaan Tempatan (Nga Kor Ming) sebelum ini juga memohon bacaan kali kedua RUU ditangguhkan sehingga segala isu berbangkit dalam sesi libat urus diselesaikan," katanya.
Di sebalik gesaan berkenaan, RUU tersebut tetap dibentangkan Kor Ming sebaik selesai sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Sementara itu dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen turut menggesa RUU itu ditangguh sementara bagi memberi ruang dan masa secukupnya kepada ahli Parlimen meneliti secara terperinci seksyen diperuntukkan dalam RUU berkenaan.
Malah beliau mendakwa, draf RUU berkenaan hanya diberi kepada ahli Parlimen pagi Khamis sebelum dibentang Kor Ming, menyebabkan ahli Parlimen tidak mempunyai masa mencukupi untuk menelitinya.
Sebelum ini media melaporkan, inisiatif pembaharuan semula bandar di bawah RUU Pemulihan Bandar dikawal oleh Akta Hakmilik Strata 1985, yang memerlukan persetujuan sebulat suara semua pemilik harta di bawah Seksyen 57 sebelum badan pengurusan boleh bertindak sebagai pemegang amanah untuk melaksanakan projek pembangunan semula.
Di bawah RUU itu, KPKT mencadangkan tahap persetujuan berperingkat berdasarkan keadaan dan umur bangunan, 75 peratus untuk bangunan berusia lebih 30 tahun, 80 peratus untuk bangunan di bawah 30 tahun dan 51 peratus untuk bangunan yang diklasifikasikan sebagai usang atau tidak selamat untuk didiami.