LIPIS–Sebuah syarikat pembuatan di sini disiasat ekoran terdapat aduan menamatkan perkhidmatan pekerja tempatan selain melanggar pelbagai undang-undang perburuhan.
Perkara itu terbongkar selepas Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menjalankan operasi bersepadu pada Rabu susulan aduan diterima berhubung tindakan syarikat terbabit.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang mengetuai operasi itu berkata, pemeriksaan turut mendapati syarikat berkenaan gagal menyediakan kemudahan penginapan bersih dan selesa.
Menurutnya, pekerja terlibat juga mengadu syarikat tersebut membuat bayaran faedah penamatan pekerja secara ansuran.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang melanggar undang-undang perburuhan.
"Kebajikan pekerja mesti dilindungi dan majikan wajib bertanggungjawab sepenuhnya,” tegasnya.
Ujarnya, operasi bersepadu itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan syarikat mematuhi undang-undang dan pekerja tidak dipinggirkan.
Seramai 49 pegawai daripada Kesuma, JTKSM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terlibat dalam operasi tersebut.
Hasil pemeriksaan, JTKSM membuka kertas siasatan di bawah Akta Kerja 1955 [Akta 265] serta Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].
Selain itu, JIM akan mengambil tindakan terhadap majikan kerana menggajikan pekerja asing tanpa Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), manakala PERKESO pula sedang meneliti tunggakan caruman pekerja yang tidak dibayar majikan.