Pasangan suami isteri didakwa abaikan anak hingga cedera

Iklan
Kedua-dua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Khamis atas dakwaan mengabaikan anak mereka sehingga mengalami kecederaan fizikal.

KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 10 bulan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh, Norazila Sharif Ahmad, 30, dan suaminya, Mohammad Saiful Ikhwan Abdul Rahman, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, pasangan itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak berkenaan didakwa mengabaikannya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Banggol, Manir antara Mac hingga 6 Ogos lalu.

Iklan

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Iklan

Tertuduh turut diarahkan supaya tidak mengganggu saksi dan perlu melaporkan diri di Balai Polis Manir pada setiap bulan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamad, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak maut dipercayai didera oleh bapa kandung dan ibu tirinya dalam kejadian di Kampung Banggol, Manir.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.05 petang, Sabtu lalu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Kejadian itu terbongkar apabila seorang pegawai perubatan di Zon Merah HSNZ menerima pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 6 Ogos lalu kira-kira jam 1 tengah hari.