BEIJING – Pempengaruh media sosial berasal dari China, Xing Zhilei mendapat perhatian ramai selepas membina stesen kereta api bawah tanah mini khusus untuk kucing peliharaannya.
Memetik laporan The Straits Times, Zhilei sebelum ini pernah menghasilkan teater, spa, pasar raya dan garaj bersaiz kecil yang sesuai untuk kucing.
“Selepas saya bina rumah kucing dua tahun lalu, ramai yang mesej dan tanya jika saya boleh buatkan stesen kereta api bawah tanah mini pula.
“Setelah berfikir panjang, ada dua perkara yang menjadi cabaran. Pertama, bagaimana untuk pastikan pintu gerabak dan platform terbuka serentak sewaktu tiba.
“Kedua, cara untuk buat eskalator (tangga bergerak). Awal tahun ini, saya putuskan untuk tidak terlalu fikirkan cabaran dan selesaikannya,” kata Zhilei.
Projek itu difahamkan mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan berdasarkan permintaan para pengikut media sosialnya.
Menerusi video berdurasi dua minit yang dimuat naik di saluran YouTube Xing’s World pada 17 Ogos lalu, Zhilei kelihatan bermain-main dengan kucingnya sambil memuatkan dirinya di dalam gerabak mini tersebut.
Video itu turut menunjukkan kucingnya menaiki dan turun dari kereta api sambil pengumuman khas dimainkan.
Setakat Khamis, rakaman tersebut memperoleh 246,000 tontonan, malah rata-rata penonton kagum dengan hasil kreativiti yang ditampilkan oleh pemuda berkenaan, yang kelihatan seakan-akan menyerupai kereta api bawah tanah sebenar.