KUALA LUMPUR - Gerakan Gubal Akta Anti Buli (GAB) menyambut baik keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa cadangan penggubalan Akta Anti Buli untuk pertimbangan Kabinet.
Pengerusinya, Wan Azliana Wan Adnan berkata, langkah tersebut merupakan permulaan penting bagi mewujudkan kerangka undang-undang yang jelas untuk menangani isu buli secara menyeluruh, sekali gus melindungi pelajar serta kanak-kanak di negara ini.
Menurutnya, GAB konsisten memperjuangkan isu berkenaan sejak beberapa tahun lalu kerana tiada definisi khusus atau hukuman jelas mengenai perbuatan buli di bawah undang-undang sedia ada.
“Perkataan ‘buli’ sering digunakan terlalu longgar sehingga menimbulkan kekeliruan sama ada sesuatu perbuatan termasuk dalam kategori buli atau tidak.
"Justeru, akta khusus amat diperlukan supaya wujud definisi yang jelas, mekanisme pelaporan yang berkesan serta hukuman setimpal terhadap pelaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Wan Azliana turut merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang menunjukkan kesediaan kerajaan untuk mengkaji keperluan penggubalan akta tersebut.
Dalam pada itu, GAB mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang melibatkan pakar perundangan, perubatan, akademik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjalankan kajian menyeluruh dan merangka dasar holistik.
“GAB bersedia bekerjasama dengan kerajaan serta semua pihak berkepentingan demi menjayakan usaha ini,” katanya.
Terdahulu, Anwar berkata, Kabinet akan membincangkan cadangan penubuhan tribunal bagi menangani kes buli melibatkan kanak-kanak.
“Cadangan ini akan dibawa ke Kabinet,” katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Rabu.
Semalam, Azalina mencadangkan supaya Putrajaya meneliti semula keperluan untuk menggubal Akta Anti Buli yang menekankan penubuhan tribunal bagi mendengar kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak.
Pada masa ini, katanya, tiada definisi khusus atau hukuman yang jelas terhadap kesalahan buli di bawah mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada.
Bagaimanapun, beliau memuji pengenalan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan yang mengendalikan kesalahan seumpama itu, selain pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak di Sabah dan Sarawak.
Isu buli melibatkan kanak-kanak kembali menjadi perhatian umum susulan kematian Zara Qairina Mahathir di Sabah serta kadet pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin.