'Buli tular, baru ada tindakan' - Syed Saddiq

Iklan
Syed Saddiq

SHAH ALAM - Pihak polis sepatutnya segera membuka siasatan dan mengambil tindakan berhubung kejadian buli melibatkan murid, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, di sebuah sekolah agama baru-baru ini.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ini bukan masanya untuk pihak polis menjalankan proses mediasi yang hanya mempertemukan ibu bapa mangsa dengan keluarga pembuli.

Iklan
Iklan

“Sepatutnya terus buka siasatan dan ambil tindakan. Kini hanya apabila sudah tular, barulah siasatan diambil alih dan akan ada tindakan.

“Kerisauan saya adalah puluhan ribu lagi anak muda di luar sana dibuli dan apabila ibu bapa mereka membuat laporan kepada polis, tetapi kerana tidak tular, maka tiada tindakan diambil.

Iklan

“Ini bukan masa untuk mediasi kerana ia sedikit sebanyak akan menormalisasikan buli,” katanya dalam satu perkongsian video di Facebook pada Rabu.

Video berkenaan menunjukkan Syed Saddiq menyuarakan isu buli tersebut di Dewan Rakyat sebelum pertanyaannya dijawab oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Iklan

Sebelum ini, seorang ibu meluahkan rasa kecewa apabila anak lelakinya yang juga pesakit kanser hidung bukan sahaja menjadi mangsa buli, malah mengalami gegaran otak sehingga menjejaskan kehidupannya.

Siti Suhana Misdi, 39, berkata, anaknya, Izzul Islam, dipukul seorang murid Tahun Enam pada 21 Februari lalu yang didakwa berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas kakak mangsa menolak cinta murid lelaki berusia 12 tahun itu.

Siti Suhana telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Universiti pada 26 Mac, namun dimaklumkan bahawa kes berkenaan tidak sesuai untuk dibuka kertas siasatan dan tindakan yang diambil hanyalah sesi perjumpaan antara kedua-dua keluarga.

Syed Saddiq menerusi hantaran sama di Facebook turut menyifatkan tindakan polis dalam menangani kes tersebut sebagai tidak masuk akal.

“Hendak tunggu mati dulu ke sebelum mahu ambil tindakan ke atas buli?

“Ibu buat laporan polis tetapi dicadangkan untuk berunding dengan keluarga pembuli. Tidak masuk akal,” ujarnya.