DUN Kedah lulus usul desak Kerajaan Persekutuan kaji semula SST
Iklan
Persidangan DUN Kedah pada Rabu meluluskan usul mendesak Kerajaan Persekutuan mengkaji semula SST.
ALOR SETAR – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu meluluskan usul mendesak Kerajaan Persekutuan mengkaji semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang didakwa memberi kesan langsung kepada rakyat.
Usul itu dicadangkan oleh wakil rakyat kerajaan, Ahmad Sulaiman (Belantek–Pas) dan dipersetujui sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bersidang di hadapan Timbalan Speaker, Abdul Razak Khamis.
Iklan
Iklan
Ahmad berkata, terdapat tiga tuntutan utama melalui usul tersebut, iaitu mendesak Kerajaan Persekutuan mengkaji semula peluasan SST yang didakwa membebankan rakyat khususnya golongan B40 dan M40; memperketatkan kawalan pencatutan harga dan pemantauan terhadap rantaian kesan SST; serta menyediakan subsidi bersasar dan bantuan kewangan khas kepada golongan terjejas termasuk peniaga kecil, petani dan nelayan.
Sesi perbahasan usul itu melibatkan lima ADUN kerajaan – Dr. Muhammad Suffian Yusoff (Bandar Baharu), Khairul Anuar Ramli (Lunas), Shahir Long (Pantai Merdeka), Abdul Ghafar Saad (Guar Chempedak) dan Ahmad sendiri – serta tiga ADUN pembangkang, Bau Wong Bau Ek (Sidam), Teh Swee Leong (Kota Darul Aman) dan Adam Loh Wei Chai (Bakar Arang).
Iklan
Dalam hujahnya, Ahmad menegaskan usul itu penting sebagai isyarat bahawa DUN Kedah turut mengambil berat situasi rakyat.
“Pelaksanaan sebarang bentuk sistem percukaian termasuk penstrukturan fiskal yang tidak teratur boleh memberi kesan langsung kepada rakyat.
Iklan
Usul ini tidak bermaksud mahu melanggar sempadan kuasa Persekutuan. Ia sekadar menyuarakan kebimbangan rakyat di Kedah,” katanya.
Khairul Anuar pula berkata, walaupun SST hanya enam peratus di atas kertas, hakikatnya ia bersifat berganda kerana dikenakan dalam beberapa peringkat rantaian bekalan.
“Barang yang sudah dicukai ketika dikeluarkan, dicukai lagi ketika dijual. Akhirnya pengguna menanggung harga lebih tinggi. Inilah yang rakyat marah,” ujarnya.
Beliau turut menggariskan empat saranan, antaranya pengecualian cukai untuk barangan asas dan perkhidmatan penting; penekanan cukai terhadap syarikat besar dan sektor berkeuntungan tinggi; serta langkah menutup kebocoran hasil negara yang saban tahun dilaporkan dalam audit.
Muhammad Suffian menambah, jurang ekonomi bandar dan luar bandar akan bertambah lebar sekiranya SST diteruskan, manakala kuasa beli penduduk luar bandar akan semakin terjejas.
Bagaimanapun, Swee Leong mempersoalkan rasional usul tersebut kerana isu SST termasuk dalam Senarai Persekutuan yang hanya boleh dibahas di Dewan Rakyat.
“Forum yang sah dan berperlembagaan untuk mengkaji semula dasar SST ialah Dewan Rakyat. Adakah ini cubaan bermain politik kepartian dan mengelirukan rakyat Kedah? Sepatutnya tumpu isu negeri, bukan ulang tayang perbahasan Parlimen,” katanya.
Perubahan pengurusan sejak kira-kira tiga tahun lalu berjaya mengubah wajah Blok E1 dan E2 Flat Teluk Indah, Perai apabila keadaan kebersihan, penyelenggaraan serta pengurusan parkir dilihat jauh lebih baik berbanding sebelum ini.
Namun, usaha berkenaan masih belum mampu menghapuskan sepenuhnya imej kotor yang sekian lama membelenggu kedua-dua blok tersebut apabila sikap segelintir penghuni yang tidak bertanggungjawab terus menjadi punca utama masalah.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/788634/edisi/utara/sikap-penghuni-terus-menjadi-musuh-utama-flat-teluk-indah
Muzik: Elevate dari www.bensound.com
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.