JOHOR BAHRU - Penganggur yang mengaku bersalah melakukan khianat dengan membakar lori tunda Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada minggu lalu dihukum penjara lima tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok menjatuhkan hukuman itu ke atas Wan Muhammad Nasrul W Ahmad, 31, selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam masih mengekalkan pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya.
Sebelum itu, Wan Muhammad Nasrul dibawa semula ke mahkamah pada Rabu bagi mendengar hukuman terhadapnya selepas mahkamah menangguhkan prosiding pada Selasa bagi membolehkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu dimainkan di mahkmah.
Ketika membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh memberitahu mahkamah dia tidak mempunyai wang kerana baharu cuba untuk memulakan kerja.
"Betul, saya yang bakar. Saya dalam keadaan marah sebab kereta ditarik.
"Saya dah minta pengecualian, daripada RM500 jadi RM250, kalau RM200 pun saya tak ada duit nak bayar.
"Saya orang susah, banyak komitmen yang saya perlu tanggung. Hutang banyak, kereta, motosikal dan rumah. Saya belum kahwin, saya baharu nak mulakan kerja," katanya.
Tertuduh memberitahu, keretanya ditarik pada malam sebelum kejadian dan diminta membuat rayuan.
"Saya nak jumpa Datuk Bandar MBJB, tetapi Datuk Bandar tiada. Saya tak mampu bayar, mahal sangat.
"Saya dah tunggu dari malam. Saya cuma nak kereta saya sahaja.
"Itulah yang saya marah sangat. Saya harap hakim dapat meringankan hukuman saya," katanya.
Bagaimanapun Siti Fatimah menjelaskan dalam hujahnya, walaupun tertuduh memberi alasan tidak mampu dan berada dalam keadaan marah, namun perbuatan membakar lori tunda di kawasan awam itu jelas boleh menjejaskan keselamatan bukan sahaja harta benda lain di lokasi kejadian, tetapi orang awam serta kakitangan Depoh Simpanan Kenderaan MBJB itu.
"Seperti yang tertuduh beritahu, pihak MBJB sudah pun menggunakan budi bicara untuk memberikan pengurangan kompaun, tetapi tertuduh masih melakukan jenayah serius ini.
"Pendakwaan mohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan tertuduh sendiri," katanya.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM6,000 terhadap tertuduh dan jika gagal membayar denda, akan dipenjara enam bulan.
Pada Selasa, tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan khianat menggunakan bahan api iaitu petrol dengan niat untuk mengakibatkan kebinasaan dengan cara membakar lori tunda milik MBJB sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM24,000.
Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Depoh Simpanan Kenderaan, Lot 1, Johor Bahru Waterfront di sini, jam 11.07 pagi, Jumaat lalu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada jam 11.07 pagi, Jumaat lalu, pengadu yang juga seorang penguat kuasa MBJB terdengar bunyi letupan ketika berada di kaunter Depoh Simpanan Kenderaan MBJB sebelum berlari keluar dan melihat sebuah lori tunda milik MBJB terbakar.
Difahamkan, berdasarkan rakaman CCTV, kelihatan seorang lelaki iaitu tertuduh menuang petrol dan menyalakan api ke arah bahagian belakang lori tunda itu sebelum membuat laporan polis.
Polis yang ke tempat kejadian kemudian menahan tertuduh dan merampas satu tong aluminum berwarna kelabu dan pemetik api.