JOHOR BAHRU - Dua beradik yang juga pemungut hutang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan melakukan pemerasan membabitkan nilai sebanyak RM3,000, dua tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh, K Karunakaran, 26, serta abangnya, K Kgangatharan, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara bersama-sama telah melakukan pemerasan dan mendatangkan ketakutan kepada seorang lelaki berusia 30 tahun dengan meminta mangsa menyerahkan wang tunai RM3,000.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah pusat snuker di Jalan Kenari 19, Bandar Putra Kulai, Kulai, pada jam 12.30 tengah malam, 17 September 2023.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fazal Lisam Abidin, memohon agar mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut adalah kesalahan tidak boleh dijamin.
Peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Nur Afiqah Hambali, bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan.
“Karunakaran bekerja sebagai perunding hutang dengan pendapatan RM2,000, belum berkahwin dan menjaga dua ibu bapa yang tidak mempunyai sebarang punca pendapatan.
“Kgangatharan pula bekerja sebagai pelayan restoran dengan pendapatan RM2,000, sudah berkahwin dan menanggung isteri yang tidak bekerja serta tiga anak yang masih kecil,” katanya.
Ahmad Kamal Arifin kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga tempatan.
Beliau turut menetapkan dua syarat tambahan, iaitu pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah serta melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Johor Bahru.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 September untuk sebutan semula kes serta bagi serahan dokumen berkaitan.