BEIJING - Seorang lelaki diperdaya kekasih yang tergamak menjualnya kepada sindiket panggilan scammer.
Menurut laporan 8World News, mangsa berusia 19 tahun dari Zhanjiang di Guangdong, China 'dijual' dengan harga kira-kira 100,000 yuan (RM58,803) oleh teman wanitanya yang berusia 17 tahun.
Kakak mangsa mendakwa gadis tersebut sering menampilkan gaya hidup mewah dan menipu bahawa keluarganya mempunyai perniagaan di Myanmar.
Mangsa bersetuju untuk melakukan perjalanan ke Bangkok bersama kekasihnya pada Februari lalu.
"Ketika mereka tiba di sempadan, teman wanitanya itu mencari alasan untuk bertemu seseorang dan meninggalkan mangsa seorang diri. Dia kemudiannya bertemu ahli sindiket scammer tersebut yang bertindak merampas pasport dan telefon bimbit miliknya," jelas laporan itu lagi.
Difahamkan, dia dipaksa membuat panggilan untuk aktiviti scam selama 16 hingga 20 jam sehari.
Ketika diselamatkan, mangsa sudah kehilangan berat badan kira-kira 10 kilogram dan turut mengalami masalah pendengaran kerana sering dipukul.
"Dia perlu membayar pampasan untuk pulang ke China kerana gagal scam mana-mana individu. Keluarganya mengumpulkan kira-kira 350,000 yuan (RM205,813) untuk membebaskannya pada Jun lalu.
Teman wanitanya juga telah ditahan ketika pulang ke Beijing dan berdepan tuduhan melakukan penipuan. - Agensi