SD Guthrie tawar peluang pekerjaan 800 banduan sektor perladangan

Iklan
Ahmad Faudzi (tiga dari kanan) bertemu lima prospek akan menjalani penempatan pekerjaan di Payo Campsite di Johol.

KUALA PILAH – [DIKEMAS KINI] Jabatan Penjara Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan syarikat SD Guthrie bagi menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 800 prospek (banduan) dalam sektor perladangan termasuk di negeri ini.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Ahmad Faudzi Awang berkata, kerjasama itu merupakan sebahagian daripada Program Corporate Smart Internship (CSI) yang memberi peluang kedua kepada prospek untuk kembali menyumbang kepada masyarakat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, SD Guthrie merupakan antara syarikat besar yang memberi komitmen tinggi dalam membantu pemulihan prospek menerusi peluang pekerjaan tetap dalam sektor perladangan.

Ahmad Faudzi (kanan) meninjau penempatan prospek yang akan menjalani penempatan pekerjaan di Payo Campsite.

Iklan

“Melalui kerjasama ini, kita jangkakan seramai 800 hingga 900 prospek akan ditempatkan di ladang-ladang SD Guthrie di seluruh negara.

“Di Negeri Sembilan, sekitar 100 orang telah ditawarkan untuk menyertai projek ini termasuk di daerah Port Dickson dan Jempol,” katanya pada Majlis Penyerahan Orang Bebas Berlesen (OBB) di Payo Campsite, Johol di sini, Selasa lalu.

Iklan

Turut hadir, Pengasas Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad dan Pengarah Penjara Negeri Sembilan, Ahmad Mustaqim Che Bisi.

Ahmad Faudzi berkata, usaha bersepadu itu bukan sahaja membolehkan prospek mempelajari kemahiran dalam sektor pertanian dan perladangan, malah dapat membantu proses pemulihan sosial dan ekonomi dalam komuniti.

“Apa yang kita lihat di sini adalah contoh terbaik bagaimana pihak industri bekerjasama menyediakan peluang pekerjaan kepada prospek, sama ada yang berlesen atau dalam parol.

“Secara keseluruhan, seramai 8,100 prospek kini sedang menjalani hukuman di luar premis penjara, termasuk bersama keluarga, tinggal di penempatan khas syarikat atau di bawah seliaan badan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya.

Tambah beliau, sehingga kini sebanyak 48 syarikat di Negeri Sembilan telah berdaftar dalam program pemulihan komuniti Jabatan Penjara, merangkumi sektor perladangan, perkilangan, pembuatan, perkhidmatan dan pertanian.

“Jabatan Penjara menetapkan syarat bahawa semua pemain industri perlu mematuhi kadar gaji minimum serta mencarum dengan PERKESO sebagai jaminan perlindungan sekiranya berlaku sebarang kemalangan ketika prospek bekerja di luar.

“Kami tidak berkompromi dalam soal kebajikan prospek. Pemain industri perlu pastikan gaji minimum dipatuhi dan caruman PERKESO dibuat agar ada perlindungan sekiranya berlaku perkara tidak diingini,” katanya.