KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengakui pemimpin politik merupakan antara ancaman terbesar kepada Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, perkara tersebut perlu dilihat secara lebih serius bagi memelihara undang-undang tertinggi negara.
“Ancaman terbesar (kepada Perlembagaan Persekutuan) ialah ahli politik. Saya fikir tidak perlu buat huraian lanjut,” katanya ketika program syarahan Allianz Centre for Governance’s ‘The Sanctity of Malaysia’s Federal Constitution: Threats, Solutions and Impact on National Governance’ di salah sebuah hotel di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang diajukan salah seorang peserta dalam program berkenaan.
Sementara itu menjawab soalan sama ada beliau pernah berdepan campur tangan mana-mana pihak sepanjang menggalas tanggungjawab sebelum ini, Tengku Maimun mengakui perkara itu tidak berlaku.
Bagaimanapun katanya, situasi itu muncul ketika saat-saat akhir beliau hampir menamatkan tugasnya.
“Ada tanda-tanda cubaan campur tangan pada tempoh penghujung saya berkhidmat,” katanya.
Mengulas lanjut tanggungjawabnya ketika menjadi Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun berkata, asas penghakiman dibuat berdasarkan fakta dan pertimbangan adil tanpa dipengaruhi mana-mana aspek.
Beliau berkata, asas itu bukan sahaja menjadi pegangan beliau tetapi juga yakin perkara sama turut dilakukan hakim yang lain.
“Bila berada di dalam mahkamah kita buta (tidak berpihak). Bukan pertimbangan agama, kaum dan sebagainya,” katanya.