Abang didakwa tikam adik dengan gunting

Iklan
Seorang juruelektrik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Selasa atas pertuduhan menikam adik kandungnya menggunakan sebilah gunting, minggu lalu.

MELAKA - Seorang juruelektrik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Selasa atas pertuduhan menikam adik kandungnya menggunakan sebilah gunting, minggu lalu.

Tertuduh, Rajaskana Sheik Abdul Kadar, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Jogajohti Sheik Abdul Kadar, 35, dengan menggunakan sebilah gunting yang mana ia adalah senjata serangan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Kandang Permai dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 11.30 malam, 12 Ogos 2025.

Iklan

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama 326A KK.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhammad Zailani mencadangkan jaminan RM15,000.

Iklan

Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai juruelektrik selain telah berkahwin dan menanggung dua anak serta adiknya iaitu mangsa dalam kes ini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 September ini bagi sebutan semula kes.

Media pada 13 Ogos lalu melaporkan mangsa, 35 tahun cedera para selepas dipercayai ditikam abangnya.

Bagaimanapun, suspek dikatakan sempat menelefon ambulans untuk membawa adiknya itu yang parah ke Hospital Melaka sebelum polis menahannya di lokasi kejadian.