Larian Keluarga Malaysia 2025 kembali, sasar 3,000 peserta

Iklan
Ismail Sabri (dua dari kiri) ketika meninjau meninjau laluan LKM 2025 di Padang Merbok pada Ahad.

KUALA LUMPUR – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) sekali lagi menganjurkan Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2025 yang akan berlangsung di Padang Merbok pada 15 November ini dengan sasaran penyertaan seramai 3,000 peserta.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, acara tersebut bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat malah bertujuan mengumpul dana bagi membantu kira-kira 1,000 anak yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil kutipan yuran penyertaan akan digunakan untuk menyalurkan bantuan bulanan antara RM200 hingga RM250 kepada anak-anak berkenaan sehingga mereka tamat pengajian di peringkat ijazah pertama.

“YKM menyalurkan sumbangan sebanyak RM200 setiap bulan kepada anak-anak berusia 16 tahun ke bawah, manakala RM250 kepada pelajar berusia 16 tahun ke atas sehingga tamat pengajian ijazah pertama di institusi pengajian tinggi melalui Bantuan Kasih.

Iklan

“Malah, pada setiap tahun mereka turut menerima dua bantuan sekali beri (one-off) iaitu Bantuan Persekolahan/Bantuan Menara Gading dan Bantuan Perayaan, masing-masing berjumlah RM300 seorang,” katanya ketika meninjau laluan LKM 2025 di Padang Merbok di sini pada Ahad.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, YKM memerlukan kira-kira RM5 juta setahun bagi memastikan bantuan itu dapat diteruskan sehingga anak-anak terbabit dewasa.

Iklan

Beliau turut mengajak masyarakat menyertai larian tersebut sebagai tanda sokongan membantu anak yatim, selain menggalakkan pihak korporat tampil sebagai penaja LKM 2025.

“LKM 2025 bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi manifestasi solidariti kita bersama dalam membantu anak-anak yatim yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Sesungguhnya, mereka masih lagi trauma dengan tragedi itu meskipun sudah tiga tahun berlalu,” katanya.

Selain berlari untuk tujuan amal, peserta juga berpeluang memenangi hadiah menarik melalui cabutan bertuah yang disediakan.

Edisi kedua larian bertemakan ‘Berlari Sambil Menyumbang’ itu menawarkan tiga kategori utama iaitu Road Race 10 km dengan yuran pendaftaran RM89 seorang, Fun Run 5 km (RM69) dan Family Run 3 km (RM49), manakala pendaftaran awal akan diberikan harga istimewa.

Pendaftaran boleh dibuat di laman rasmi https://checkpointspot.asia/event/LKM25