Cuba terjun tingkap asrama elak dicekup Imigresen

Iklan
Kesemua individu warga asing ditahan untuk pemeriksaan lanjut dalam serbuan pada Selasa.

KLANG – Cubaan seorang lelaki warga asing terjun dari tingkap asrama pekerja gagal apabila berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah kilang aluminium di Jalan Perindustrian 5, Jalan Meru di sini pada Selasa.

Lebih mengejutkan, ada antara mereka yang cuba menyamar kononnya hanya datang ke kilang berkenaan untuk bertemu rakan, namun helah itu tidak berhasil selepas pemeriksaan lanjut mendapati mereka bekerja tanpa dokumen sah.

Iklan
Iklan

Serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia Selangor bermula kira-kira jam 11 pagi itu disertai seramai 17 pegawai dan anggota.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, dalam operasi itu, seramai 43 warga asing ditahan, kebanyakannya warga Myanmar dan Bangladesh yang bekerja sebagai pekerja am di kilang terbabit.

Iklan

Khairul Aminus (kiri) memeriksa dokumen dalam serbuan dijalankan pada Selasa.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, pemeriksaan mendapati 32 individu warga asing memiliki kad perakam waktu sekali gus menunjukkan mereka benar-benar diambil bekerja secara tetap.

Iklan

"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah melanggar syarat pas kerja di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen, selain tidak memiliki dokumen sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

"Pemeriksaan turut mendapati ada individu warga asing yang memiliki pasport kosong tanpa sebarang cop kemasukan atau pas kerja," katanya dalam sidang media pada Selasa.

Katanya, terdapat juga warga asing ditahan memiliki pas kerja sektor binaan, namun sebaliknya didapati bekerja di kilang ini.

"Pemeriksaan turut mendapati ada yang menggunakan pasport baharu selepas pasport lama tamat, tetapi tiada rekod kemasukan ke negara ini, kesahihan pasport ini akan dirujuk kepada kedutaan masing-masing bagi pengesahan lanjut.

"Bagi majikan pula, siasatan selanjutnya akan dijalankan untuk mengenal pasti kesalahan dilakukan," katanya.

Menurutnya, kilang berkenaan turut menyediakan asrama penginapan pekerja dan maklumat itu akan disalurkan kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan lanjut.

"Serbuan dijalankan hasil risikan selama sebulan selepas menerima aduan awam berhubung keberadaan warga asing di premis terbabit.

"Kesemua individu warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Selangor untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dalam pada itu, Khairrul Aminus menegaskan, pekerja asing tidak boleh sewenang-wenangnya menukar sektor pekerjaan atau majikan.

"Jika diberikan pas bekerja dengan syarikat A, mereka tidak boleh sesuka hati bekerja dengan syarikat atau sektor yang berbeza.

"Sebarang pelanggaran kesalahan berkaitan atau kesalahan lain melibatkan peruntukan undang-undang ditetapkan maka tindakan tegas akan segera diambil," katanya.