Op Taring Delta: PGA tumpas sindiket seludup migran

Iklan
Hakemal.

KUALA LUMPUR - Pasukan Task Force Delta Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran yang aktif beroperasi di kawasan Sabak Bernam, Selangor menerusi Op Taring Delta pada Selasa.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 5 pagi itu, seramai 39 migran warga Indonesia ditahan melibatkan 19 lelaki, 17 perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki, selain dua lelaki dipercayai berperanan sebagai tekong laut.

Iklan
Iklan

“Sindiket itu dipercayai menggunakan orang tengah yang berada di Indonesia dan Malaysia, termasuk warga Indonesia dari Aceh yang telah lama menetap di negara ini.

“Mereka menggunakan laluan laut di perairan utara Selangor khususnya kawasan persisiran pantai Sabak Bernam serta menggunakan kapal nelayan laut dalam bersaiz besar bagi menjalankan aktiviti penyeludupan,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Iklan

Hakemal berkata, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi pada lewat malam hingga awal pagi antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi, dengan bayaran dikenakan antara RM1,500 hingga RM3,000 bagi setiap individu untuk satu perjalanan.

“Pembayaran pula dibuat secara pemindahan dalam talian dan bukan secara tunai,” ujarnya.

Iklan

Hakemal berkata, dalam tempoh 1 Januari hingga hari ini, pihaknya telah menahan seramai 164 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan serta 11 individu di bawah kes pemerdagangan orang dan penyeludupan migran (ATIPSOM).

“Sepanjang tempoh sama, sebanyak 98 serbuan telah dijalankan di kawasan tanggungjawab Briged Tengah PGA.

“Hasilnya, seramai 170 individu berjaya ditangkap dengan pelbagai jenis rampasan melibatkan nilai keseluruhan RM9 juta,” katanya.

Beliau menegaskan PGA akan terus komited melaksanakan tugas menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam secara profesional demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat Malaysia.