JOHOR BAHRU - [DI KEMASKINI] Seramai tujuh individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes buli murid tahun empat sehingga mengalami gegaran otak, 7 Ogos lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman Arsad berkata, keterangan percakapan itu melibatkan pegawai perubatan yang merawat mangsa, murid sekolah yang menjadi saksi kejadian serta ahli keluarga, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10.
"Setakat ini tujuh saksi telah diambil keterangan dan jika ada keperluan kita akan memanggil beberapa saksi lain bagi melengkapkan siasatan bergantung kepada keputusan laporan perubatan.
"Mangsa masih lagi menjalani rawatan dan pemantauan pihak hospital. Pihak hospital juga belum dapat mengeluarkan laporan kerana rawatan masih belum selesai.
"Polis sedang menunggu laporan perubatan penuh sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung dakwaan murid berkenaan mengalami gegaran otak selepas didakwa dibuli dan dipukul oleh rakan sekolahnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Izzul Islam di sebuah hospital swasta pada Selasa.
Sebelum itu, ibu mangsa, Siti Suhaina Misdi, 39, mendakwa anaknya, Izzul Islam dipukul dipercayai dipukul oleh seorang murid berusia 10 dan 12 tahun di hadapan kelas di sebuah sekolah agama dan kebangsaan di Skudai pada 21 Februari serta 7 Ogos.
Susulan kejadian, Siti Suhaina membuat dua laporan polis pada 23 Februari di Balai Polis Skudai serta 15 Ogos lalu di Balai Polis Larkin.
Ab Rahaman berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.