SHAH ALAM – Perjalanan seorang juruteknik ke tempat kerjanya berakhir tragedi apabila motosikal ditunggang terbabas di Persiaran Mokhtar Dahari di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave menuju ke sebuah kilang di Seksyen 26, Shah Alam dari arah Puncak Alam.
"Siasatan mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ketika melalui kawasan berpasir di bahu kiri jalan.
"Mangsa tercampak ke kawasan berumput di bahu jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai atau saksi bebas yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354," katanya.