SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Pendengaran permohonan notis usul supaya kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan, di Mahkamah Tinggi di sini ditetapkan Isnin depan.
Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan tarikh itu selepas pihak Ketua Polis Negara (KPN) dan Peguam Negara (AG) memohon masa untuk memfailkan afidavit balasan bagi notis usul dibuat ibu Allahyarham Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Semasa pengurusan kes, Pengarah Pendakwa Selangor, Datin Kalmizah Salleh yang hadir bagi pihak Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar selaku responden kedua, memohon mahkamah memberi masa yang munasabah untuk mereka menyediakan dokumen tersebut.
Menurutnya, ini kerana mereka perlu berhubung dengan pihak forensik patologi, ahli kimia dan pegawai penyiasat.
“Kami mengakui bahawa kes ini merupakan isu berkepentingan awam maka afidavit balasan perlu dibuat dengan teliti tanpa keadaan tergesa-gesa.
“Pihak kami telah berhubung dengan pengarah pendakwaan Johor kerana kejadian berlaku di negeri itu,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Alison Chan.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd Salehuddin hadir bagi pihak KPN, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail selaku responden pertama mengulangi permohonan sama, supaya mahkamah dapat menetapkan masa dua minggu untuk perkara berkenaan.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan afidavit balasan difailkan sebelum atau pada Jumaat ini.
Sebelum ini, media melaporkan hasil siasatan jawatankuasa kematian pegawai kadet Palapes UTM mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
Mangsa meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan itu mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.
Mohamed Khaled berkata, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur yang ditetapkan.
Pada 1 Ogos lalu, PDRM dilaporkan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kematian seorang pelatih Palapes itu.