MASIH terngiang-ngiang suara di sana sini termasuk di media sosial mengenai #JusticeForZara yang menuntut pembelaan serta keadilan terhadap Allahyarham Zara Qairina.
Merak Jalanan bagaimanapun mahu menekankan satu lagi jenis buli yang semakin parah di negara ini iaitu buli di jalan raya atau road bullying.
Kebelakangan ini, jika kita melayari media sosial, pasti ada sahaja rakaman video dan gambar yang menunjukkan perbuatan buli jalanan ini. Kadangkala ia turut melibatkan orang sudah lanjut usia yang sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada anak dan cucu.
Jika dilihat rakaman video, ada sahaja yang cuba buat provokasi di atas jalan. Perbuatan seperti ‘cucuk belakang’, menekan hon panjang, menghimpit ke kiri dan kanan, mengajak bertumbuk dan sebagainya, boleh dikatakan hampir setiap hari kita dapat lihat.
Mengapa ini berlaku? Nak tunjuk kita ini ‘king’ atau samseng di jalan raya?
Tidak sepatutnya kita sebagai pengguna yang menggunakan jalan raya bersama-sama, mengubah jalan menjadi gelanggang ego dan keangkuhan.
Ingatlah sedikit sahaja kesilapan di atas jalan raya, ia mungkin boleh berakhir di katil hospital atau liang lahad, hanya kerana gagal mengawal emosi di balik stereng kenderaan.
Merak Jalanan fikir, tidak bolehkah kita memandu dengan berhemah? Jika ingin tukar lorong, nyalakan lampu signal. Jika ada melakukan kesilapan di jalan raya, angkatlah tangan tanda minta maaf dan sebagainya.
Mungkin sudah tiba masanya kita kembali berfikir, adakah kita mahu dikenang sebagai pemandu berhemah atau pembuli jalan raya yang hanya menambah luka di hati orang lain?
Jalan raya bukan medan laga. Ia ruang kongsi. Hormat orang lain, insya-ALLAH kita juga dihormati.
Jika keras kepala juga, ambillah bukti seperti rakaman video atau gambar dan buat sahaja laporan kepada pihak berwajib. Biar padan muka!