MALAYSIA sekali lagi mencuri perhatian global apabila melancarkan dua inisiatif kecerdasan buatan (AI) yang bukan sahaja menggabungkan inovasi teknologi, malah turut merangkumi nilai-nilai Islam dan warisan budaya tempatan.
Aplikasi pertama, NurAI yang dihasilkan Zetrix AI Berhad merupakan aplikasi AI patuh syariah pertama di dunia berdasarkan konsep Large Language Model (LLM) dan dibangunkan sepenuhnya menurut nilai-nilai Islam.
NurAI bukan sekadar memproses bahasa semata-mata, ia dilaporkan turut memahami adab, memelihara hukum syariah serta menegakkan maruah budaya umat Islam. Pelancarannya merupakan langkah konkrit untuk mengatasi fakta berkaitan fatwa dan hukum Islam yang sering muncul melalui kandungan AI di platform lain.
Aplikasi kedua, ILMU atau Intelek Luhur Malaysia Untukmu yang dibangunkan oleh YTL AI Labs bersama Universiti Malaya.
ILMU mampu memproses pelbagai jenis input dalam bahasa Melayu, Inggeris dan juga dialek tempatan selain pencapaiannya setanding dengan GPT-4o dan Llama 3.1, sekali gus mengesahkan keupayaan AI tempatan ini yang menghormati budaya dan nilai masyarakat Malaysia.
Kedua-dua inisiatif ini iaitu NurAI dan ILMU jelas menunjukkan aspirasi Malaysia bukan sekadar mengejar kecanggihan teknologi, namun turut meletakkan landasan AI yang berpaksikan keimanan, adab dan suara tempatan.
NurAI menitikberatkan kesahihan fatwa dan produk AI yang mematuhi syariah manakala ILMU menawarkan fleksibiliti kecerdasan yang peka konteks budaya dan bahasa tempatan.
NurAI berpotensi memperbaiki persepsi dan ketepatan kandungan Islamik dalam ruang digital, sekali gus menyokong pendidikan agama dengan lebih adil dan tepat.
Kombinasi nilai Islam dan konteks budaya yang diserap dalam kedua-dua inisiatif ini dapat dijadikan model bagi negara-negara Islam lain yang mahukan AI yang bukan sekadar pintar, tapi juga bertanggungjawab dan menghormati nilai agama.
Ketika dunia bergerak pesat dengan teknologi, Malaysia mengambil pendekatan lebih seimbang iaitu menggabungkan inovasi AI dengan moral dan tradisi agama.
Semoga kedua-dua projek ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem AI Malaysia, tetapi juga memberi inspirasi kepada dunia Islam untuk membentuk teknologi yang menyatukan, bukan memisahkan dunia dan akhirat.