NEW DELHI – Satu fenomena baharu yang dikenali sebagai 'pesta perkahwinan olok-olok' kini menjadi trend popular dalam kalangan Gen Z di India, malah turut menular ke beberapa negara lain termasuk Jerman dan Dubai.
Acara yang dianjurkan seumpama majlis perkahwinan tradisional India ini menampilkan muzik Bollywood, tarian, dan hiasan mewah, namun tiada sebarang pasangan yang melangsungkan perkahwinan sebenar.
Ia hanyalah sebuah pesta hiburan yang bebas daripada tekanan keluarga atau tuntutan adat.
Menurut laporan media, trend ini mula tular selepas seorang penganjur acara, Sarthak Ahuja, berkongsi pengalamannya menganjurkan majlis seumpama itu.
Difahamkan pesta ini menjadi sumber keuntungan besar dengan dikenakan bayaran tiket masuk.
Salah satu acara di Bengaluru dilaporkan dihadiri lebih 2,000 peserta, manakala sebuah pesta di Delhi meraih keuntungan bersih sekitar 10 lakh (RM56,000) dengan harga tiket serendah 2,000 rupee (RM112) hingga 15,000 rupee (RM840) bagi setiap individu.
Peserta pesta akan dibahagikan kepada 'pengantin lelaki' dan 'pengantin wanita', dan mereka terlibat dalam pelbagai aktiviti interaktif seperti meneka saudara-mara, menari, dan menikmati hidangan bufet.
Majlis ini juga dianjurkan dengan syarat ketat seperti bebas alkohol untuk memastikan suasana yang selamat dan mesra semua.
Trend ini dikatakan berkembang pesat berikutan gaya hidup golongan profesional muda di bandar-bandar utama India yang mencari kemeriahan majlis perkahwinan tanpa perlu menggalas tanggungjawab serta tekanan emosi.
Pada masa sama, fenomena ini turut menghidupkan industri perkahwinan di negara itu, dengan keuntungan dianggarkan mencecah 130 bilion lakh ( RM7.3 bilion).
Selain itu ia dikatakan memberi peluang kepada penyedia perkhidmatan dan penganjur lokasi untuk menjana pendapatan di luar musim perkahwinan.
Di Frankfurt, Jerman, satu pesta bertema 'Band Baaja Baarat' juga dianjurkan, menampilkan muzik dan tarian India tanpa kehadiran pengantin.
Malah, Dubai turut mengadaptasi trend ini dengan mengadakan pertandingan tarian dan reka bentuk bertemakan perkahwinan. - Agensi