Bantuan tambahan RM100: Bukti keprihatinan kerajaan terhadap mahasiswa

Iklan
Bantuan tambahan RM100 jelas menunjukkan Kerajaan Madani ambil berat kebajikan mahasiswa.

KOS sara hidup yang semakin meningkat memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat termasuk mahasiswa.

Walaupun berada di institusi pengajian tinggi mereka tetap berdepan tekanan kewangan, khususnya bagi menampung perbelanjaan harian.

Iklan
Iklan

Langkah kerajaan mempertimbangkan bantuan tambahan RM100 khusus buat mahasiswa wajar dilihat sebagai bukti keprihatinan terhadap golongan muda yang merupakan aset negara, sekali gus menandakan suara mahasiswa tidak dipandang sepi sebaliknya diambil kira dalam dasar sosial semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sedia mempertimbangkan pemberian bantuan tambahan RM100 secara sekali beri (one-off) kepada mahasiswa sebagai usaha membantu golongan itu menangani cabaran kos sara hidup.

Iklan

Menurutnya, hal itu akan diberi pertimbangan sewajarnya dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada Oktober ini.

Katanya, ketika ini semua individu berusia 18 tahun ke atas sudah menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 namun kerajaan akan meneliti keperluan bantuan tambahan khusus untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Iklan

Bantuan tersebut mungkin kelihatan kecil nilainya, namun bagi mahasiswa yang berjuang dengan bajet terhad ia boleh menjadi penyelamat susulan RM100 mampu menampung kos makan mingguan, tambang pengangkutan atau pembelian bahan pengajian asas.

Lebih penting, inisiatif berkenaan menggambarkan kesungguhan kerajaan untuk tidak membiarkan mana-mana kelompok tercicir daripada perhatian, meskipun mereka sudah pun layak menerima bantuan SARA berdasarkan umur.

Selain meringankan kos harian, langkah berkenaan turut memberi mesej jelas bahawa kerajaan menilai mahasiswa sebagai pelaburan jangka panjang.

Usaha tersebut juga menunjukkan dasar kerajaan bersifat fleksibel dan terbuka untuk ditambah baik mengikut keperluan semasa dengan mengambil kira cadangan daripada pelbagai pihak, bantuan yang diberikan lebih bersasar dan inklusif.

Tidak dinafikan, nilai bantuan bukanlah ukuran utama, apa yang lebih penting adalah kesediaan kerajaan tampil dengan inisiatif yang memberi kesan langsung kepada penerima.

Dalam masa sama ia adalah tanda bahawa aspirasi mahasiswa diraikan dan kebajikan mereka diberi keutamaan.

Reaksi positif pastinya akan datang daripada golongan mahasiswa sendiri kerana bagi mereka, bantuan tambahan bukan sekadar angka tetapi satu bentuk pengiktirafan terhadap cabaran yang ditempuhi sepanjang menuntut ilmu.

Langkah itu juga berpotensi meningkatkan keyakinan anak muda terhadap dasar kerajaan, ia memberi mesej bahawa suara mereka didengar dan kebajikan mereka dipelihara, sekali gus menyemai semangat kebersamaan.

Kesimpulannya, bantuan tambahan RM100 kepada mahasiswa perlu dilihat dalam kerangka besar iaitu bukti Kerajaan Madani sentiasa berusaha mendekati rakyat dari segenap lapisan.

Walaupun nilainya tidak besar, impaknya besar kerana mampu menyentuh kehidupan harian mahasiswa dengan cara yang bermakna.