Dua pemancing hanyut ditemui selamat di perairan Pulau Kendi

Iklan
Seorang anggota penguat kuasa Maritim Malaysia Pulau Pinang bersama dua pemancing yang berjaya diselamatkan selepas dilaporkan hilang di laut.

GEORGE TOWN - Dua pemancing yang dilaporkan hilang di laut sejak Ahad ditemui selamat di perairan Pulau Kendi di sini pada Isnin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya menerima aduan awam mengenai kehilangan dua lelaki berusia 34 dan 64 tahun yang keluar memancing pada jam 10 pagi, Ahad lalu.

Iklan
Iklan

“Kedua-dua mereka sepatutnya pulang pada malam hari sama namun tidak dapat dihubungi sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sejurus menerima maklumat, aset penguat kuasa digerakkan untuk operasi mencari dan menyelamat di kawasan koordinat terakhir bot terbabit.

Iklan

“Selepas hampir lima jam pencarian, pasukan operasi menemui bot pemancing itu pada jam 3 pagi dalam keadaan bersauh kira-kira 15 batu nautika barat Pulau Kendi.

"Mangsa ditemui dalam keadaan sihat dan stabil,” katanya.

Iklan

Muhammad Suffi berkata, pemeriksaan mendapati bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin menyebabkan mereka terkandas di laut.

“Bot penguat kuasa membantu menghidupkan enjin sebelum mengiringi mereka pulang ke Jeti Limbungan Batu Maung,” katanya.