TEMERLOH – Mini Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) Pahang 2025 melakar sejarah tersendiri apabila mencatatkan jualan berjumlah RM2,230,633.72 sekali gus melepasi sasaran awal RM1.2 juta.
Program empat hari yang bermula Khamis dan berakhir Ahad di Dataran Temerloh itu turut menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran 206,120 pengunjung berbanding sasaran awal 50,000 orang.
Pencapaian ini menjadikannya penanda aras baharu untuk penganjuran Mini MAHA Pahang pada tahun-tahun mendatang.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, kejayaan tersebut hasil kerjasama erat semua pihak yang terlibat.
“Mini MAHA Pahang menghimpunkan petani, penternak, nelayan, usahawan, pelabur dan anak muda dalam ekosistem pertanian moden berteraskan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi.
"Pelancaran Beras Pahang serta produk jenama Pahang Best membuktikan kekayaan hasil pertanian negeri.
''Insya-ALLAH, tahun hadapan kita akan merancang lebih awal agar penganjuran lebih berjaya lagi. Bagaimanapun, lokasi penganjuran masih belum diputuskan,” katanya ketika ditemui pada Isnin.
Program anjuran Kerajaan Pahang dengan kerjasama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) negeri itu melibatkan penyertaan 100 usahawan tempatan.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan penganjuran MAHA Pahang secara bergilir di daerah-daerah lain berikutan kejayaan memberangsangkan di Temerloh.
Idea penganjuran Mini MAHA Pahang 2025 merupakan cetusan Menteri Besar sendiri yang sebelum ini dikenali sebagai Karnival Agro Makanan dengan peruntukan RM2 juta sebagai bukti kesungguhan kerajaan negeri memperkukuh sektor agromakanan.