Tandas MPT Jalan Tok Muda Awang Angah tersenarai 10 terbaik BMW

Iklan
Rizal (empat dari kiri) bergambar di hadapan Tandas Awam MPT di Jalan Tok Muda Awang Ngah, Temerloh yang berjaya dalam 10 senarai pendek tandas terbaik dari seluruh negara. Foto: Ihsan MPT

TEMERLOH- Tandas Awam Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di Jalan Tok Muda Awang Ngah, di sini melakar sejarah apabila tersenarai dalam 10 tandas awam terbaik di seluruh negara sempena Kempen Tandas Awam Bersih (Bersih, Menawan dan Wangi (BMW)) 2025.

Kempen yang bermula Jun hingga Ogos ini dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mewujudkan tandas awam bertaraf empat bintang dan ke atas.

Iklan
Iklan

Yang Dipertua MPT, Rizal Mustafa berkata, pihaknya akan memaksimumkan tahap penjagaan tandas terbabit sebaik mungkin, bukan sahaja di peringkat negeri malah hingga ke peringkat antarabangsa.

Ujarnya, lokasi strategik tandas itu yang terletak berhampiran Pekan Sehari Temerloh dan Esplanade menjadikannya tumpuan pengguna khususnya pada hujung minggu.

Iklan

“Kita ingin memastikan pengguna berasa selesa dan teruja menggunakan tandas yang bersih, menawan dan wangi walaupun dikenakan caj masuk, sekali gus menjadi satu ‘trademark’ dan diingati kerana kebersihan tandas di Temerloh.

“Ia juga selaras dengan tuntutan agama untuk menjaga kebersihan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau ditemui sempena Majlis Perasmian Kempen Kesihatan Persekitaran – Kempen Tandas Awam Bersih ‘BMW’ baru-baru ini.

Jelasnya, pelaksanaan kempen itu menzahirkan komitmen MPT dalam memastikan fasiliti tandas awam berada pada tahap kebersihan optimum demi keselesaan dan kesejahteraan pengguna.

Sebelum ini, tandas kendalian MPT pernah meraih pengiktirafan apabila Tandas Awam Lurah Semantan memenangi Anugerah Tandas Terbaik kategori ASEAN Public Toilet Standard Award (2023-2025).

Tandas berkenaan yang terletak bersebelahan Stesen Bas Lurah Semantan telah memenuhi kriteria ditetapkan iaitu bersih, wangi dan mesra pengguna untuk dipilih sebagai pemenang anugerah tersebut.