KUALA LUMPUR – Lima lelaki warga tempatan disyaki ‘runner’ sindiket along ditahan dalam Op Khas Kad ATM di Subang Jaya pada 8 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Risikan/Operasi JSJK Bukit Aman telah menahan tiga lelaki yang didapati mencurigakan di kawasan sebuah bank.
“Hasil pemeriksaan, kesemua individu tersebut didapati bekerja sebagai 'collector' kad ATM dan 'runner' untuk sindiket along bagi mengeluarkan wang bayaran pinjaman daripada kad-kad ATM yang dibekalkan oleh pihak sindiket.
“Pemeriksaan seterusnya dilakukan di tempat bekerja yang juga merupakan tempat tinggal mereka di Subang Jaya dan dua lagi lelaki telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini pada Isnin.
Rusdi berkata, siasatan mendapati kesemua individu berusia 23 hingga 36 tahun itu menerima arahan untuk mengeluarkan wang daripada penyelia mereka melalui aplikasi Telegram.
“Kekerapan pengeluaran wang adalah sekitar dua kali sehari dengan jumlah antara RM5,000 hingga RM8,000 sehari.
“Wang tersebut kemudiannya dibungkus dan dihantar ke alamat tertentu melalui perkhidmatan kurier atau secara serahan tangan di lokasi yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, individu berkenaan telah bekerja antara enam bulan hingga dua tahun dengan pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,500 sebulan.
“Kita telah merampas 2,924 keping kad ATM pelbagai bank, wang tunai RM119,977, sebuah set router, 14 telefon bimbit, tiga buah kenderaan, dokumen perjanjian pinjaman, enam cap, tiga komputer riba dan dua komputer,” katanya.
Menurutnya, semakan mendapati seorang daripada individu yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau di bawah kesalahan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Kesemua individu yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah tempoh reman mereka tamat pada 12 Ogos lalu.
“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
“Penglibatan sebagai keldai akaun, sama ada memberikan akaun untuk dipinjam, disewa atau menjadi runner kepada pihak sindiket untuk mengeluarkan wang menggunakan kad ATM milik orang lain, adalah satu kesalahan jenayah,” tegasnya.