Anas al-Sharif 'wartawan medan tempur'

Iklan
Al-Sharif berkeras mahu terus menjadi suara penduduk Gaza meskipun berdepan ancaman Israel. Foto Agensi

GENTING GAZA - Dunia media berduka lagi dengan insiden pembunuhan kejam ke atas empat wartawan Al Jazeera pada 10 Ogos lalu.

Salah seorang daripadanya ialah Anas al-Sharif, 28, yang sanggup menggadai nyawa membuat liputan sejak perang genosid ke atas Genting Gaza lebih 22 bulan lalu.

Iklan
Iklan

Israel pernah beberapa kali mengugut al-Sharif dan menegahnya daripada terus membuat liputan tentang peperangan tersebut.

Israel secara semberono menuduh al-Sharif sebagai 'pengganas' yang kononnya bergabung dengan Hamas hingga tergamak melancarkan serangan ke atas khemah yang menjadi tempat berlindung petugas media di Bandar Gaza.

Iklan

Tuduhan melulu itu dilemparkan selepas beliau dengan lantang mendedahkan tentang tentang tahap kebuluran teruk di Gaza yang berpunca daripada sekatan ketat terhadap akses penghantaran bekalan makanan.

Al-Sharif lantang mengutuk kekejaman rejim Zionis dan mendedahkan krisis kebuluran di Gaza. Foto Agensi

Undang-undang perang adalah jelas iaitu wartawan juga tergolong dalam orang awam dan menyasarkan mereka dengan sengaja merupakan sebahagian daripada jenayah perang.

Iklan

Al-Sharif menjadi salah seorang 'wartawan medan tempur' terkenal di Al Jazeera yang sentiasa memberikan perkembangan terkini di wilayah tersebut.

Beliau dilahirkan di kem pelarian Jabalia di utara Gaza dan berkhidmat bersama saluran berpusat di Qatar itu selama dua tahun.

“Al-Sharif tanpa henti menyampaikan liputan harian tentang situasi penduduk Palestin dan serangan ganas yang berlaku di enklaf berkenaan,” kata Pengarah Berita Al Jazeera English, Salah Negm.

Bapa kepada dua anak itu terpisah dengan keluarganya untuk tempoh yang lama ketika bertugas di bahagian utara Gaza setelah terkepung di kawasan tersebut kerana enggan mematuhi arahan pemindahan paksa dikeluarkan Zionis.

Catatan dikongsikan di Instagram pada Januari lalu menunjukkan gambar al-Sharif tersenyum gembira bersama dua cahaya matanya dengan kapsyen ia merupakan detik pertama kali beliau bertemu anak lelakinya selepas perang ganas itu meletus selama 15 bulan.

Berita eksklusif

Meskipun Gaza terus dihujani bom, al-Sharif kerap muncul menerusi siaran langsung untuk bahan berita eksklusif tentang situasi sebenar di wilayah itu.

Beliau turut berkongsi berita sedih pemergian rakan-rakannya yang terkorban dalam serangan di Bandar Gaza pada tahun lalu.

Al-Sharif juga kehilangan bapanya pada Disember 2023 setelah kediaman keluarganya dibedil Zionis.

Beberapa jam sebelum serangan yang meragut nyawanya, beliau sempat berkongsi tentang kempen pengeboman sengit di Bandar Gaza.

Pemergian empat lagi wartawan akibat kekejaman tentera Israel ditangisi petugas media lain. Foto Agensi

Pengarang Urusan Al Jazeera, Mohamed Moawad menggelar al-Sharif sebagai 'satu-satunya suara yang bergema di Bandar Gaza' yang kini menjadi sasaran operasi ketenteraan yang diperluaskan ke atas enklaf tersebut.

Pengurus input saluran Bahasa Arab di Al Jazeera, Raed Fakih juga memuji keberanian al-Sharif yang sentiasa berdedikasi dan bersungguh-sungguh ketika menjalankan tugasnya.

“Perwatakannya itu menjadikan beliau seorang wartawan yang berjaya dengan ratusan ribu pengikut di media sosial. Beliau sanggup meredah lokasi berbahaya dan menyaksikan sendiri insiden pembunuhan beramai-ramai.

“Integritinya membuatkan dia tetap berpegang teguh pada tanggungjawabnya sebagai wartawan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, al-Sharif sering menghubunginya dan perbualan terakhir mereka menyentuh tentang isu kebuluran yang kini mendapat perhatian komuniti antarabangsa.

“Beliau sendiri bergelut dan cuba bertahan untuk hidup dengan bekalan makanan yang terhad.

“Al-Sharif berkeras mahu terus menjadi suara penduduk Gaza kerana beliau sendiri menghadapi kesengsaraan yang dialami mereka dan ia perlu dihebahkan kepada dunia,” jelasnya.

Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) terus mengecam pembunuhan kejam ke atas profesional media berikutan lebih 200 wartawan terkorban ketika membuat liputan perang genosid di Gaza sejak Oktober 2023. - Agensi