Remaja perempuan maut, lima cedera SUV bertembung lori

Iklan
Keadaan SUV yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Besul, Jalan Jerantut menghala Tembeling, Jerantut pada Ahad. Foto: Ihsan JBPM

JERANTUT - [DIKEMAS KINI] Perjalanan lima beranak melawat ahli keluarga di sekolah bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka maut apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka bertembung dengan lori muatan sawit di Kilometer (KM)8 Jalan Jerantut-Kuala Tembeling di sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi, mangsa iaitu pelajar Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan, Chenor, Aimy Nur Batrisyia Ahmad Sobri,14 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kedua ibu bapa mangsa iaitu Ahmad Sobri Hussin,44, dan Rohaizah Haminuddin,41, dan dua adiknya masing-masing berusia dua dan 10 tahun cedera akibat kemalangan tersebut.

"Hasil siasatan awal yang telah dijalankan, kejadian berlaku semasa Mitsubishi Outlander dari arah Bandar Jerantut ke Kuala Tembeling manakala lori dari arah bertentangan.

Iklan

"Apabila sampai di tempat kejadian, lori yang dipandu oleh lelaki berusia 35 tahun sedang bergerak di jalan selekoh dan menuruni bukit telah masuk ke laluan sebelah kanan atau bertentangan jalan lalu bertembung dengan Mitsubishi Outlander yang dipandu oleh bapa mangsa dari arah yang bertentangan," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Ujarnya, kemalangan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan

Jelasnya, pemandu lori mengalami kecederaan ringan manakala kedua ibu bapa dan dua adik perempua mangsa menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jerantut.

Ujarnya, hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu lori kerana gagal mengawal kenderaannya dengan baik sehingga mengakibatkan kemalangan.

"Ujian saringan air kencing telah dijalankan terhadap pemandu lori dan didapati negatif.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, tambahnya.