PUTRAJAYA - Penggunaan teknologi serta aplikasi khas di telefon bimbit oleh penjenayah rentas sempadan bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa antara cabaran yang dihadapi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, sebanyak 851 kes tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan maritim dengan rampasan bernilai RM84 juta bagi tempoh tujuh bulan setakat Julai tahun ini.
Menurutnya, antara kesalahan tertinggi yang dikesan ialah Akta Perikanan 1985 (345 kes), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (206 kes), Akta Imigresen 1959/63 (146 kes), Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (57 kes) serta Akta Kawalan Bekalan 1961 (49 kes).
“Kesemua tangkapan ini melibatkan pelbagai kesalahan seperti pencerobohan nelayan asing warga Vietnam, penyeludupan manusia, rokok, minuman keras, barangan bersubsidi serta kesalahan perkapalan.
“Fokus utama Maritim Malaysia ialah memastikan keselamatan perairan sempadan negara bebas daripada jenayah rentas sempadan yang berlaku di Laut China Selatan, Laut Sulawesi, Selat Melaka dan juga kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE),” katanya kepada pemberita selepas Program Jiwa Merdeka @ IOI City Mall di sini pada Ahad.
Beliau berkata, penjenayah rentas sempadan dikesan sering melakukan perubahan berkaitan dengan modus operandi.
Dedah Mohd Zawawi, jika dahulu pergerakan kes penyeludupan menggunakan mata kasar atau tonto, kini teknologi dron diterbangkan kira-kira 30 minit bagi memastikan kawasan terbabit tiada kehadiran pihak berkuasa.
“Kalau kawasan itu ‘clear’, mereka (penjenayah) akan masuk sama ada membabitkan penyeludupan ketum, dadah dan benih kerang. Kita, dengan kerjasama pihak polis dan tentera, akan mengekang cubaan-cubaan ini.
“Ada juga kita kesan aplikasi di telefon bimbit yang digunakan untuk mengesan pergerakan kapal sasaran seperti kapal dagang dan kapal tangki bagi memudahkan jenayah rompakan dilakukan,” ujarnya.
Justeru, tambah beliau, penggunaan teknologi terkini dan penambahan aset Maritim Malaysia diyakini mampu mengekang kegiatan sindiket.
“Ada beberapa aset Maritim Malaysia telah diubah suai dan diberi nafas baharu. Selain itu, kita dijangka bakal menerima sebuah kapal Ex-United States Coast Guard Cutter (Ex-USCGC) Steadfast pada November ini serta sebuah kapal induk baharu buatan Turkiye.
“Pada tahun hadapan, kita juga akan menerima tambahan aset iaitu empat helikopter yang berupaya dalam operasi mencari dan menyelamat (carilamat) dengan jangkauan kawasan yang lebih luas selain tindakan penguatkuasaan,” ujarnya.
Mengulas mengenai Program Jiwa Merdeka, beliau berkata, edisi kedua itu bermula seawal jam 6.30 pagi dengan acara Patriotik Fun Run diikuti aktiviti zumba dan Fitness Challenge yang dianjurkan oleh Kelab Kebajikan dan Sukan Maritim (KESMAR) Maritim Malaysia.
“Program ini bukan sahaja mempromosikan imej profesionalisme Maritim Malaysia, malah mengeratkan hubungan dengan komuniti bandar serta menarik minat belia terhadap kerjaya maritim selain menjadi medium memupuk semangat patriotik sempena sambutan Bulan Kebangsaan ke-68,” ujarnya.