JAKARTA – Projek Kereta Api Laju Jakarta–Bandung (KCJB) atau Whoosh terus menjejaskan kewangan beberapa syarikat milik negara (BUMN) Indonesia walaupun sudah siap dibina dan beroperasi.
Laporan kewangan terkini menunjukkan konsortium terlibat menanggung kerugian besar akibat beban hutang serta kadar faedah tinggi yang perlu dibayar kepada China.
Empat BUMN Indonesia yang bergabung dalam konsortium PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) berdepan tekanan kewangan selepas sebahagian besar kos projek dibiayai pinjaman daripada China Development Bank (CDB).
Baki perbelanjaan pula ditampung melalui dana kerajaan serta suntikan modal bersama syarikat BUMN dan firma China.
Projek yang bermula sejak 2016 itu menyaksikan kos meningkat lebih AS$1.2 bilion (kira-kira RM5.06 bilion).
Audit bersama kedua-dua negara mendapati jumlah keseluruhan pembinaan kini mencecah AS$7.27 bilion atau sekitar RM30.63 bilion.
Berdasarkan Laporan Kewangan Belum Diaudit PT Kereta Api Indonesia (KAI) setakat 30 Jun 2025, entiti bersekutu mereka iaitu PT Pilar Sinergi BUMN Indonesia (PSBI) merekodkan kerugian bersih 4.195 trilion rupiah (RM1.096 bilion) sepanjang 2024.
Kerugian itu berlarutan hingga 2025, dengan PSBI kembali rugi 1.625 trilion rupiah (RM424 juta) setakat pertengahan tahun ini.
Sebagai pemegang saham utama KCIC, kerugian besar ditanggung PSBI secara langsung menjejaskan BUMN dalam konsortium berkenaan.
KAI yang menguasai 58.53 peratus saham PSBI terpaksa menanggung hampir 951.48 bilion rupiah (RM248.5 juta) kerugian pada separuh pertama 2025 sahaja, selepas sebelum ini menanggung 2.23 trilion rupiah (RM582.5 juta) kerugian pada 2024.
Keadaan ini memberi tekanan besar kepada kedudukan kewangan KAI, khususnya selepas syarikat itu diarahkan kerajaan bertindak sebagai pemegang saham pengendali utama Whoosh.
Untuk rekod, KAI bersama tiga lagi BUMN menubuhkan PSBI sebagai pemegang saham majoriti dalam konsortium KCIC.
Semua liabiliti hutang serta kerugian operasi Whoosh diagihkan mengikut pegangan saham masing-masing.
Konsortium KCIC terdiri daripada sembilan syarikat.
Empat BUMN Indonesia ialah PT Wijaya Karya, PT Jasa Marga, PT Perkebunan Nusantara VIII dan PT Kereta Api Indonesia.
Sementara lima syarikat China pula termasuk China Railway International Company Limited, China Railway Group Limited, Sinohydro Corporation Limited, CRRC Corporation Limited dan China Railway Signal and Communication Corp.
Melalui kerjasama itu, pihak Indonesia menubuhkan PSBI manakala pihak China menubuhkan konsortium kereta api mereka sendiri sebelum digabungkan di bawah syarikat usaha sama PT KCIC.
Dari segi pegangan saham, PSBI memiliki 60 peratus manakala konsortium China menguasai baki 40 peratus.-Agensi