Panggil Mindef, MDIO perjelas isu lima anggota ATM ditahan - Ikmal Hisham

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 13 Ogos lalu. Gambar kecil: Ikmal Hisham

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Keselamatan dan Pertahanan disaran supaya memanggil pihak Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi memberikan penjelasan atau taklimat khas secara tertutup berhubung isu penahanan lima anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, sesi penjelasan itu perlu melibatkan wakil blok kerajaan dan pembangkang pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung ketika ini, bagi memberikan perincian jelas mengenai ketirisan yang berlaku membabitkan anggota ATM berkenaan.

Iklan
Iklan

“Saya mencadangkan supaya JKPK Keselamatan dan Pertahanan memanggil Mindef, khususnya Ketua Pengarah Bahagian Perisikan Pertahanan (MDIO), untuk memberikan penjelasan.

“Saya juga ingin tahu tindakan risik-balas untuk menutup ketirisan yang telah berlaku oleh Bahagian Perisikan Pertahanan (MDIO) dan juga Mindef selepas operasi mereka ini terbongkar.

Iklan

“Saya percaya Panglima Angkatan Tentera (PAT) akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk membersihkan ATM daripada sebarang masalah rasuah dan unsur subversif yang boleh mengancam keselamatan serta kedaulatan negara dari dalam pasukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan yang didalangi pegawai kanan ATM di selatan tanah air melalui Ops Sohor.

Iklan

Operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

Ikmal Hisham turut meluahkan kebimbangan apabila pegawai kanan ATM yang ditahan itu bertanggungjawab secara langsung dalam usaha kawalan dan pengendalian maklumat risikan, sama ada secara fizikal mahupun siber.

“Pegawai-pegawai ATM yang ditahan ini adalah dari Kor Risik atau lebih tepat lagi anggota MDIO, iaitu salah satu cabang penting ATM. Salah seorang suspek yang ditahan juga mempunyai pertalian darah dengan bekas Panglima Tentera Darat sebelum ini.

“Situasi ini amat merunsingkan dan membimbangkan saya serta semua pemerhati pertahanan, lalu timbul persoalan apakah kompromi lain turut berlaku.

“Ia bukan hanya menyentuh maklumat rondaan unit-unit tentera di kawasan selatan tanah air, tetapi juga maklumat penting lain yang berkaitan isu lebih runcing seperti Laut China Selatan dan aspek kesiapsiagaan ketenteraan serta keselamatan negara.

“Apatah lagi, mereka yang ditahan ini disyaki telah bersekongkol dengan sindiket penyeludupan sejak lima tahun lalu,” ujarnya.