'Bukti inkues 2016 sudah cukup dakwa pembunuh Wan Ahmad Faris' - Peguam

Iklan
Ruhani yang turut menyertai perhimpunan aman menuntut pembelaan terhadap kematian Wan Ahmad Faris. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Peguam keluarga mangsa bunuh, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman menegaskan bahawa bukti dan keterangan yang dikemukakan semasa inkues di Mahkamah Koroner pada tahun 2016 sudah mencukupi untuk menyokong satu pertuduhan jenayah terhadap pelaku.

Alias Ibrahim yang ketika itu mengendalikan prosiding inkues berkenaan berkata, bukti yang dikemukakan termasuklah sampel DNA pada kain pelikat dan selipar yang ditemui di lokasi mayat serta cap jari yang belum diuji ketika itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bukti-bukti tersebut sepatutnya membuka laluan kepada satu siasatan jenayah yang lebih terperinci, namun kes berkenaan hanya dibuka tetapi akhirnya ditutup sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) pada tahun 2020.

Orang ramai yang hadir bersama-sama keluarga Wan Ahmad Faris bagi menyatakan solidariti bagi menuntut keadilan terhadap Allahyarham. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID

Iklan

“Kami yakin bahawa keterangan dan bukti yang ada, termasuklah nama suspek, sudah mencukupi pada masa itu untuk menyokong pertuduhan jenayah.

“Malangnya, sehingga kini tiada perkembangan yang jelas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa menyertai Himpunan Aman Solidariti Justice For Faris, Zara di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, pada Sabtu.

Iklan

Menurut Alias, kes kematian Wan Ahmad Faris melibatkan kepentingan awam, sama seperti kes pelajar Tingkatan 1 di Sabah, Zara Qairina Mahathir, 13, yang dipercayai turut melibatkan unsur buli.

Sehubungan itu, beliau berkata, ibu bapa arwah, Ruhani Hussin, 70, dan Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 79, terus menuntut agar siasatan jenayah terhadap kes Allahyarham Wan Ahmad Faris dibuka semula.

“Memandangkan kes ini telah diklasifikasikan sebagai NFA oleh polis Kelantan, kami mahukan pasukan polis dari Bukit Aman mengambil alih untuk melakukan siasatan semula,” katanya.

Alias turut mendedahkan bahawa berdasarkan perbicaraan di Mahkamah Koroner terdahulu, motif kejadian pembunuhan yang berlaku 12 tahun lalu itu berkemungkinan membabitkan unsur buli dan dendam oleh pihak yang tidak berpuas hati terhadap Wan Ahmad Faris.

Alias (dua dari kanan) bersama peguam-peguam dan wakil kepada keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID

“Berdasarkan keterangan, terdapat unsur buli dan dendam kerana sebelum kejadian, berlaku beberapa insiden lain melibatkan pihak yang terkilan dan tidak berpuas hati terhadap arwah,” katanya.

Jelas beliau, tuntutan supaya siasatan jenayah dibuka semula merupakan antara usaha yang sedang dilaksanakan oleh barisan 10 peguam, serentak dengan tindakan saman sivil yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada bulan lepas.

“Kami usahakan kedua-dua saluran undang-undang, iaitu saman sivil dan tuntutan siasatan jenayah.

“Jika kes ini tidak dibawa ke mahkamah, banyak perkara akan kekal tidak terjawab termasuk isu tandas yang dirobohkan. Jawapan kepada persoalan ini sangat penting untuk keluarga mendapatkan keadilan terhadap arwah,” katanya.

Wan Ahmad Faris, 16, pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah agama di Kok Lanas ditemukan mati tergantung di tandas asrama pada Disember 2013.

Pada awalnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun pada Jun 2016, Mahkamah Koroner Kota Bharu memutuskan bahawa mangsa telah dibunuh.

Susulan itu, keluarga Allahyarham memfailkan saman sivil terhadap Kerajaan Persekutuan, Ketua Polis Negara dan pegawai penyiasat atas dakwaan kecuaian serta pelanggaran tanggungjawab, selain menuntut ganti rugi am, khas dan lain-lain.