JAKARTA – Aksi seorang lelaki membakar foto kenangan bersama bekas isterinya tular di media sosial selepas rakaman tersebut dikongsi di TikTok.
Dalam video berdurasi singkat itu, lelaki berkenaan dilihat memecahkan bingkai gambar, mengeluarkan foto perkahwinan sebelum membakarnya hingga hangus.
Turut kelihatan dalam rakaman tersebut ialah bingkai mahar perkahwinan serta potret pasangan itu di atas pelamin yang akhirnya musnah dijilat api.
Difahamkan, mereka sudah pun melangsungkan pernikahan sebelum hubungan tersebut berakhir baru-baru ini.
Perkongsian video berkenaan meraih lebih 3.9 juta tontonan dan dihujani pelbagai komen daripada warganet.
Segelintir warganet menyifatkan tindakan itu sebagai simbol kekuatan untuk bangkit, manakala sebahagian lagi menasihatinya agar tidak melupakan detik bahagia yang pernah dilalui.
Melalui ruangan komen, lelaki tersebut menjelaskan tindakannya berpunca daripada rasa kecewa apabila nombor telefon dirinya dan keluarga tiba-tiba disekat oleh bekas pasangan tanpa sebarang penjelasan.
“Semua nombor saya dan keluarga disekat tanpa sebarang perbincangan,” tulisnya.
Kisah itu terus mengundang pelbagai reaksi warganet, termasuk yang berpendapat lebih baik berpisah awal daripada menanggung penderitaan selepas berumah tangga. - Agensi