[VIDEO] 'Nak bernafas pun sukar' - Pesakit kanser tahap empat gigih teruskan perniagaan bakeri

Iklan

SEREMBAN - Hendak bernafas pun terpaksa menggunakan bantuan oksigen namun pejuang kanser tahap empat, Siti Zaleha Suhaimi, 39, tetap cekal meneruskan perniagaan bakeri Bondas Bakers demi kelangsungan hidup.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, dia sebelum ini telah bebas daripada kanser payudara, namun tidak menyangka sel itu kembali menyerang sebelum merebak ke paru-paru dan tulang belakang, menjadikan keadaan kesihatannya kini semakin merosot.

Iklan
Iklan

“Saya menjalani pembedahan paru-paru kanan selepas mengalami kesukaran bernafas. Sekarang saya bergantung kepada oksigen 24 jam kerana paru-paru berair dan tidak berkembang.

“Susah untuk bergerak sendiri kerana pergerakan akan menyebabkan paras oksigen menurun.

Iklan

"Sekarang saya perlu bergantung kepada suami dan ahli keluarga lain kerana tidak mampu menguruskan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Zaleha menunjukkan produk tart ke KL uaran Bondas Bakers.

Iklan

Dia kini sedang menjalani rawatan kimoterapi, namun tetap bertekad untuk meneruskan perniagaan bakeri yang diusahakan sejak lima tahun lalu kerana ia menjadi sumber kewangan utama bagi menampung perbelanjaan keluarga dan kos perubatannya.

Bercerita lanjut Siti Zaleha berkata, dia memulakan perniagaan dengan membuat kek dan kuih raya dari rumah secara kecil-kecilan selepas berhenti kerja sebagai jurutera kilang elektronik akibat keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Siti Zaleha disamping suami dan anak.

“Selepas berhenti kerja, saya isi masa lapang dengan membuat kuih secara suka-suka dari rumah. Dengan modal RM400, saya buat 100 balang tart dan tak sangka sambutan sangat baik.

“Disebabkan permintaan yang tinggi, saya kemudian membuka sebuah bakeri kecil di Semenyih. Kini ia diuruskan bersama dua pekerja tetap.

“Jualan pula dibuat melalui ejen, secara dalam talian serta di beberapa lokasi fizikal termasuk di AEON Nilai dan program jualan di Bangi,” katanya.

Katanya, jenama Bondas Bakers kini semakin dikenali dengan jualan melebihi 1,500 balang pelbagai jenis kuih raya seperti tart nenas, Almond London, mazola, semperit dan choc chip dengan jumlah jualan mencecah RM15,000 tahun ini.

Siti Zaleha menunjukkan produk keluaran Bondas Bakers.

Sementara itu dia berkata, turut menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan zakat secara ‘one-off’, termasuk untuk pembelian mesin oksigen.

Bagaimapun katanya, kos rawatan dan keperluan harian masih tinggi akibat kesan daripada rawatan kimoterapi.

“Susu khas mencecah RM100 untuk dua minggu, manakala lampin pakai buang pula hanya tahan dua hari. Satu sesi kimoterapi menelan kos kira-kira RM800,” katanya.

Biarpun diuji dengan dugaan besar, Siti Zaleha tetap percaya bahawa setiap kesusahan pasti ada hikmahnya.

“Mungkin ALLAH SWT uji saya awal kerana Dia nak beri sesuatu yang lebih baik kemudian hari. Perniagaan ini bukan hanya sumber rezeki, tapi juga terapi untuk saya kekal positif.

“Saya berharap orang ramai terus menyokong perniagaan saya supaya ia dapat berkembang dengan lebih stabil dan berimpak tinggi, agar mampu menampung kos rawatan serta menjaga kebajikan dua pekerja saya yang telah bersama saya sejak awal,” ujarnya.