'Naluri ibu hadirkan saya malam ini'

Iklan
Orang ramai menadah tangan berdoa dalam himpunan 'Justice For Zara' yang diadakan di hadapan pusat beli-belah Sogo pada Sabtu.

KUALA LUMPUR -"Naluri seorang ibu dorong saya hadir bersolidariti."

Itu reaksi salah seorang peserta himpunan 'Justice For Zara' yang ditemui dalam perhimpunan di hadapan pusat beli-belah Sogo di sini pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Individu yang mahu dikenali sebagai Kamariah berkata, beliau sebak tatkala mengetahui mengenai kisah pelajar berusia 13 tahun itu menerusi laporan media.

"Sebagai seorang ibu, saya faham perasaan ibunya yang pasti menanggung derita yang tidak terungkap.

Iklan

"Bayangkan anak yang dilahirkan serta ditatang bagai minyak penuh, akhirnya kehilangan nyawa dalam sekelip mata," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Himpunan 'Justice For Zara' di Kuala Lumpur menyaksikan ibu bapa dan anak muda hadir bersolidariti menuntut keadilan untuk Zara Qairina.

Iklan

Dalam pada itu, seorang individu yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul, 30, berkata, dia teruja menghadiri himpunan itu sebaik mendapat maklumat mengenai penganjuran menerusi media sosial.

"Sebelum ini saya saksikan himpunan sama diadakan di Sabah menerusi video siaran langsung di media sosial. Jujur saya katakan, seandainya saya mempunyai kemampuan, pasti saya akan turut serta.

"Bila saya lihat ada hebahan mengenai himpunan 'Justice For Zara' di ibu kota, tanpa fikir panjang saya nekad untuk hadir," katanya.

Suasana hiba menyelubungi kawasan hadapan pusat beli-belah Sogo apabila lantunan lagu Justice For Zara Qairina disusuli laungan"Justice for Zara" oleh peserta yang hadir.

Himpunan solidariti anjuran badan bukan kerajaan (NGO) itu turut dihadiri pempengaruh media sosial, menyaksikan peserta berpakaian hitam sambil membawa plakad, sepanduk dan kain rentang bertulis 'Justice For Zara' dan 'Say No To Buli'.