KOTA BHARU – Penyanyi dikir barat moden, Eda Ezrin, kini memberi tumpuan menghasilkan lirik lagu berinspirasikan pengalaman hidupnya selepas dibebaskan daripada penjara di Narathiwat, Thailand, awal bulan ini.
Eda atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, berkata, karya itu amat dekat di hati kerana mengangkat kisah yang pernah dilaluinya sepanjang tempoh mencabar sebelum ini.
“Saya sedang dalam proses menulis lirik sendiri.
“Berkisahkan sesuatu yang sangat dekat di hati saya dan diilhamkan daripada perjalanan hidup saya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
Ibu kepada dua anak itu memberitahu, walaupun ada komposer menghubunginya untuk menawarkan lagu baharu, beliau masih belum membuat keputusan menerima atau menolak tawaran berkenaan.
Menurutnya, buat masa ini beliau lebih selesa memberi tumpuan kepada suami, anak-anak dan keluarga selepas melalui lebih sembilan bulan berada di sebalik tirai besi.
“Saya belum membuat sebarang keputusan bila-bila untuk kembali, buat masa ini, saya mahu meluangkan lebih masa bersama suami, anak-anak dan keluarga.
“Saya benar-benar berharap peminat masih dapat menerima jika saya kembali ke industri ini suatu hari nanti,” katanya.
Sementara itu, menerusi Instagram, pelantun lagu Bea Soba Bea itu dilihat berkongsi kehidupan bahagianya kini dengan memuat naik gambar bersama suami dan anaknya.
Sebelum ini, Eda bersama pasangannya dan empat rakan ditahan polis Sungai Golok pada 1 November tahun lalu di sebuah hotel yang turut menyaksikan rampasan 6,059 pil methamphetamine.
Mac lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan semua tertuduh selepas mendapati tiada bukti kukuh mengaitkan mereka dengan kes berkenaan.
Bagaimanapun, pihak pendakwa Thailand memfailkan rayuan dan mereka ditahan semula selama enam bulan bagi memberi peluang pendakwa mendapatkan saksi serta bukti tambahan.
Sehingga tarikh akhir tahanan pada 6 Ogos lalu, pendakwa gagal mengemukakan sebarang bukti, sekali gus mendorong hakim memerintahkan pembebasan mereka.