KESUNGGUHAN dan ketekunan Datuk Fauziah Nawi dalam menuntut ilmu tidak boleh dinafikan lagi apabila pelakon veteran tersebut berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) jurusan Seni Lakon Teater di bawah program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada Sabtu.
Penerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 tersebut berkata, ia bukti komitmen berterusannya dalam mempelajari bidang diminati selain menyifatkan sijil dan kelayakan akademik sebagai penanda aras penting terhadap kredibiliti seseorang berbanding individu yang memiliki pengalaman puluhan tahun.
Mencapai usia yang ke-72 pada Jun lalu, Fauziah memberitahu, beliau mahu membuktikan kepada cucunya bahawa faktor usia bukan penghalang dan belum terlambat untuk seseorang itu mencari ilmu.
“Bagi saya, menuntut ilmu sangat penting tambahan pula zaman sekarang lebih memerlukan sijil dan kelayakan akademik berbanding pengalaman berpuluh-puluh tahun.
“Saya dah rugi banyak masa dahulu, arwah bapa suruh belajar tapi saya tak mahu, sekarang baharulah ada kesedaran dalam diri sendiri.
“Selain itu, saya mahu jadi sumber inspirasi buat cucu dan Alhamdulillah mereka okay, ada juga yang masih belajar. Saya rasa tak perlu pun (sambung belajar), tapi ini demi nak tunjukkan bahawa belum terlambat untuk sambung pengajian tak kiralah usia berapa pun,” katanya kepada Sinar Harian.
Seniwati terkenal itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi PSH 2025 dan Penutup Program Mobiliti Pertukaran Pelajar Guangxi Arts University China, bertempat di Panggung Eksperimen ASWARA, di sini.
Selain menggenggam Ijazah Sarjana Profesional dalam Industri Seni (Lakonan) dari Open University Malaysia (OUM) pada 2018, Fauziah juga difahamkan memiliki diploma bidang Koordinasi Pengarahan Filem dari Meatech Creative Academy, 2020 lalu.
SKM diterimanya difahamkan hanya berdasarkan penilaian menerusi peperiksaan fizikal semata-mata, bukannya perlu melengkapkan pengajian minimum tiga tahun seperti pelajar lain.
Ditanya mengenai tahap kesihatan, anak kelahiran Ipoh itu mengakui keadaannya baik sahaja buat masa ini, namun tidak mampu berdiri terlalu lama dalam satu-satu masa.
Jelasnya, beliau bersyukur kerana belum pernah diuji dengan penyakit kronik sepertimana dialami kebiasaan golongan seusianya.
"Saya tidak makan sembarangan dan mengamalkan gaya hidup sihat. Selain itu, saya selalu bersenam, berpuasa dan ikut nasihat doktor untuk turunkan berat badan bagi memudahkan pergerakan serta tidak menambahkan sakit lutut.
"Daripada berat badan saya melebihi 90 kilogram (kg) selepas beberapa tahun, kini mencapai 58kg.
"Alhamdulillah, saya memang bersyukur dengan nikmat yang ALLAH SWT beri pada saya. Kalau bukan kita yang kena jaga (kesihatan), siapa lagi?" ujar pelakon filem Sayang Salmah tersebut.