Gara-gara ganti garam dengan bahan lain selepas bertanya ChatGPT, lelaki alami halusinasi.

Iklan
Pihak OpenAI memaklumkan bahawa ChatGPT tidak boleh digunakan untuk merawat sebarang kondisi kesihatan dan menggalakkan pengguna mendapatkan pandangan profesional.

WASHINGTON – Seorang lelaki berusia 60 tahun dimasukkan ke hospital selama tiga minggu selepas menggantikan garam dapur dengan natrium bromida, susulan 'eksperimen peribadi' yang dilakukan selepas 'berbincang' dengan bot kecerdasan buatan, ChatGPT.

Menurut laporan yang diterbitkan dalam Annals of Internal Medicine, lelaki tersebut tidak mempunyai sejarah penyakit mental tetapi tiba di hospital dalam keadaan paranoid, mendakwa jirannya cuba meracuni dirinya.

Iklan
Iklan

Hasil pemeriksaan makmal dan rundingan dengan pusat kawalan racun membawa kepada diagnosis bromism (keracunan bromida).

Dalam tempoh 24 jam pertama rawatan, simptomnya semakin teruk, termasuk paranoia, halusinasi visual dan auditori, sehingga memerlukan tahanan psikiatri involuntari.

Iklan

Pesakit mendedahkan bahawa selama tiga bulan, dia menggantikan garam dapur dengan natrium bromida selepas membaca tentang kesan negatif garam terhadap kesihatan dan mendapatkan cadangan daripada ChatGPT.

Doktor yang merawat turut menguji ChatGPT 3.5 dengan soalan serupa dan mendapati jawapan bot tersebut menyenaraikan bromida sebagai pengganti klorida, tanpa amaran kesihatan khusus atau pertanyaan lanjut tentang tujuan penggunaan.

Iklan

Pihak OpenAI memaklumkan bahawa ChatGPT tidak boleh digunakan untuk merawat sebarang kondisi kesihatan dan menggalakkan pengguna mendapatkan pandangan profesional.

Keracunan bromida merupakan keadaan jarang berlaku hari ini, namun pernah menyumbang kepada 8 peratus kemasukan pesakit psikiatri pada awal abad ke-20 sebelum penggunaannya dihadkan. Kini, natrium bromida lebih banyak digunakan dalam perubatan veterinar bagi merawat sawan pada kucing dan anjing.

Natrium bromida ialah sebatian kimia berbentuk kristal putih yang larut dalam air dan digunakan terutamanya dalam bidang perubatan veterinar sebagai ubat anti-epilepsi, selain aplikasi industri seperti bendalir penggerudian minyak.

Dahulu ia digunakan sebagai ubat penenang untuk manusia, namun dihentikan kerana boleh menyebabkan keracunan bromida yang menimbulkan gejala serius seperti sakit kepala, mengantuk, halusinasi, dan gangguan saraf. Bahan ini tidak sesuai sama sekali dijadikan pengganti garam dapur kerana risiko toksiknya yang tinggi kepada manusia.-Agensi