KEBIASAANNYA, penonton tempatan disajikan dengan genre seram, aksi dan komedi di layar perak. Namun, kali ini mereka bakal menikmati kelainan menerusi sebuah karya sains fiksyen berjudul Abu Si Raksasa, yang menampilkan kisah unik cicak salamander menjadi makhluk gergasi dan menggemparkan kota.
Lebih menarik, ia diangkat sebagai filem kaiju pertama Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam industri perfileman tempatan.
Diterbitkan oleh M Toons Media Sdn Bhd, naskhah itu diiktiraf sebagai filem kaiju pertama di Malaysia, mengangkat kisah seekor cicak salamander yang bermutasi menjadi makhluk gergasi akibat pencemaran bahan kimia.
Penerbitnya, Zamin Fakry berkata, idea tersebut tercetus ketika perbincangan bersama ahli akademik alam sekitar, Profesor Dr Hezri Adnan.
“Daripada perbualan itu, lahirlah ilham untuk menghasilkan sebuah naskhah sains fiksyen yang berkaitan dengan isu alam sekitar,” katanya.
Diarahkan oleh Ramdan Che Hassan, filem itu dibintangi barisan pelakon popular termasuk Sophia Al-Barakbah, Jaa Suzuran, Zalif Sidek, Afieq Shazwan, Azhar Sulaiman dan Maria Farida.
Bagi merealisasikan Abu Si Raksasa, Zamin mendedahkan pihak produksi membelanjakan kira-kira RM2 juta, termasuk kos CGI dan VFX.
“Bajet boleh dikatakan agak terhad, namun kami berusaha memberikan yang terbaik. Terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Finas atas sokongan dana,” ujarnya.
Mengulas mengenai pemilihan cicak salamander sebagai tunjang cerita, Ramdan yang juga penulis skrip berkata, haiwan amfibia itu memiliki sifat unik.
“Ia bukan spesies ganas dan sesuai dibela. Ada laporan menyatakan ia mampu membesar ke saiz luar biasa, sekali gus sesuai dengan jalan cerita filem ini,” jelasnya.
Ramdan mengakui, penghasilan filem ini memberi cabaran tersendiri, khususnya dari segi kajian sebelum penggambaran dan penggunaan imaginasi yang tinggi, memandangkan hampir 40 peratus naskhah ini melibatkan CGI.
Abu Si Raksasa akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 11 September 2025.
Naskhah ini mengisahkan Zaara (Sophia Al-Barakbah) yang memelihara cicak salamander bernama Abu. Namun, haiwan itu bermutasi selepas terdedah kepada pencemaran bahan kimia daripada pencuci jamban berjenama ROXCCID di sebuah empangan.
Zaara bersama rakannya, Sofiyan (Jaa Suzuran) dan Zidan (Zalif Sidek), kemudian bergabung tenaga untuk menyelamatkan Abu daripada pihak berkuasa yang diketuai Kolonel Zamrose dan Kapten Fayyad.