SUNGAI PETANI - Sebut sahaja Jelapang Padi, pastinya ramai mengetahui negeri Kedah memainkan peranan penting dalam sektor pertanian negara yang kini turut membangunkan ekonomi dan perindustrian berteknologi tinggi.
Kawasan sawah padi di negeri tersebut tidak hanya menjadi sumber pendapatan rakyat malah diperkenalkan sebagai tarikan agropelancongan.
Misalnya di Kampung Padi Tikam Batu telah menerima lebih 100,000 pengunjung biarpun baru beroperasi awal tahun ini.
Keindahan sawah padi yang menghijau dilengkapi pemandangan indah alam semula jadi menggamit sesiapa sahaja yang melalui Jalan Persekutuan Sungai Petani-Butterworth itu.
Kedudukan strategik di pintu masuk sempadan Kedah dan Pulau Pinang kemungkinan ia juga menjadi faktor utama mudah diakses.
Pengurus Kampung Padi, Sollehan Mokhtar berkata, pelbagai kemudahan aktiviti yang ditawarkan memberi peluang pengunjung merasai pengalaman hidup di desa.
“Selain dapat menikmati suasana kampung dan berada di tengah bendang, pengunjung juga boleh mengambil peluang melihat lebih dekat pokok padi yang ditanam di sini.
“Sebenarnya penanaman padi di sini sudah diusahakan sejak lebih enam tahun lalu dengan keluasan keseluruhan kira-kira 33.88 hektar,” ujarnya.
Lebih menarik, sebanyak enam daripada 31 hektar sawah padi diusahakan dengan tanaman beras wangi yang kini dipasarkan secara kecil-kecilan manakala selebihnya dibangunkan sebagai agropelancongan.
Varieti benih padi yang terdapat di kawasan itu termasuk MR269, MR219, MR297 dan beras wangi MRQ76.
“Apa yang menarik, pengunjung boleh menikmati pemandangan indah sawah padi selain dibenarkan menelusuri petak sawah ini untuk merakamkan gambar kenangan.
“Cukup sesuai dijadikan lokasi riadah bersama keluarga ataupun tempat menghilangkan penat akibat tekanan kerja dan jauh dari kesibukan kota, Kampung Padi menyediakan suasana indah permai desa yang cukup memukau,” katanya.
Setelah penat berjalan melihat sawah padi, pengunjung boleh mencuba pengangkutan dikenali tuk-tuk iaitu kenderaan yang telah diubah suai daripada sebuah lori mengelilingi beberapa kampung sekitar sambil menikmati pemandangan Gunung Jerai jika cuaca baik.
Bagi yang sukakan cabaran, boleh mencuba kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV).
“Kampung Padi diperkenalkan sebagai sebuah destinasi agropelancongan bermula 16 Januari lalu, namun sudah berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung setakat ini.
“Dengan kempen Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 yang berlangsung ketika ini, kita yakin sasaran sehingga 200,000 pengunjung sehingga penghujung tahun ini berjaya dicapai,” jelasnya.
Pengunjung termasuk kaki pancing yang menjadikan aktiviti itu sebagai terapi jiwa kerana terdapat lima buah kolam dipenuhi pelbagai spesies seperti tilapia, patin, lampam, keli dan puyu.
Tidak lengkap kiranya tidak mencuba masakan kampung seperti lempeng dan gulai ikan kembung, tomyam dan pelbagai masakan lain termasuk makanan barat di Port Lepak Kampung Padi.
Cukup mengujakan apabila makanan dinikmati di bawah sinaran matahari terbenam berlatar belakang sawah padi dan binaan reka bentuk serta landskap tersusun indah.
“Kampung Padi juga sesuai bagi mereka yang gemarkan berswafoto dan OOTD dengan alam sekeliling.
“Dengan sokongan pelancong dari seluruh negara, kita yakin mampu merancang lebih jauh dengan mewujudkan sebuah galeri padi atau inap depa pada masa hadapan bagi memartabatkan agropelancongan sekali gus merancakkan ekonomi setempat,” katanya.
Dibuka setiap hari kecuali Selasa, bermula jam 3 petang hingga 11 malam, manakala pada Sabtu, Ahad dan cuti umum menerima pengunjung seawal jam 9 pagi dengan tiket masuk hanya RM3 seorang.
“Kita yakin Kampung Padi mampu menjadi salah satu tarikan di Negeri Jelapang Padi ini sekali gus destinasi pilihan wajib singgah sempena TMK 2025,” ujarnya.