98 warga Bangladesh dihalang masuk di KLIA

Iklan
AKPS menegaskan bahawa kawalan di pintu masuk negara akan terus diperketat dengan pemantauan tegas. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seramai 98 pelawat warga Bangladesh dihalang memasuki negara selepas gagal mematuhi syarat kemasukan dalam operasi pemeriksaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi Jumaat.

Operasi yang bermula jam 1 pagi hingga 7.30 pagi itu memeriksa 181 pelawat asing, dengan 98 daripadanya diberikan Notis Penolakan Masuk (NTL) kerana menggunakan tempahan hotel palsu, tidak memiliki tiket pulang dan gagal membuktikan kemampuan kewangan mencukupi.

Iklan
Iklan

“Mereka dipercayai tiba dari Dhaka, Bangladesh, melalui penerbangan awal pagi bagi mengelak pemeriksaan lebih ketat pada siang hari,” menurut AKPS dalam kenyataan pada Jumaat.

Agensi itu memaklumkan semua pelawat terbabit dipercayai berhasrat menyalahgunakan kemasukan untuk tinggal dan bekerja secara tidak sah di negara ini.

Iklan

Menurut AKPS, operasi tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan menjaga keselamatan serta kedaulatan sempadan negara.

“AKPS menegaskan kawalan di pintu masuk negara akan terus diperketat dengan pemantauan tegas, selain tindakan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak, termasuk anggota yang bersubahat membawa masuk warga asing secara tidak sah,” katanya. - Bernama

Iklan