SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis terhadap Ketua Polis Negara dan Peguam Negara (AG).
Tindakan itu dilakukan oleh Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berhubung kematian anaknya, Syamsul Haris, 22, yang merupakan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang meninggal dunia ketika menjalani latihan bulan lalu.
Ummu Haiman, selaku pemohon memfailkan perkara itu dengan menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar selaku responden pertama dan kedua.
Berdasarkan affidavit, pemohon turut meminta pendengaran prosiding itu disegerakan melalui perakuan oleh peguamnya, Datuk Naran Singh.
Beliau turut memohon perintah supaya kubur anaknya digali semula bagi dijalankan bedah siasat kedua.
“Bedah siasat perlu dijalankan dengan kehadiran Pakar Forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh dan dihadiri Naran atau wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co,” katanya.
Beliau juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengeluarkan laporan dalam tempoh satu bulan dari tarikh ia dijalankan dan satu salinan diberikan kepada peguamnya.
Selain itu katanya, perintah yang mengarahkan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan jenayah untuk melantik satu pasukan baharu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil alih tugas seperti yang dilakukan di dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Ummu Haiman juga memohon perintah bagi mengarahkan AG menjalankan satu inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.
“Saya percaya terdapat unsur jenayah dalam kematian anak saya apabila menerima pelbagai percanggahan dalam alasan dan punca kematian.
“Jasad Allahyarham telah diletakkan dalam keranda yang tertutup dan apabila dipaksa barulah mereka membukanya, namun hanya di bahagian muka,” katanya.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos ini untuk mendengar notis usul bagi mendapatkan kebenaran menggali semula kubur pelatih itu.
Sementara itu, ketika dihubungi media, Naran mengesahkan memfailkan notis usul tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan hasil siasatan jawatankuasa kematian pegawai kadet Palapes UTM mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
Mangsa meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan itu mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.
Mohamed Khaled berkata, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur yang ditetapkan.
Pada 1 Ogos lalu, PDRM dilaporkan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kematian seorang pelatih Palapes itu.