Bayi jantung berlubang perlukan RM90,000

Iklan
Muhamad Arif dan isterinya Nur Izzah ketika mendapatkan bantuan daripada One Hope Charity & Welfare bagi mengumpul dana pembedahan Nur Feelisya Aral.

BUKIT MERTAJAM - Bayi perempuan baru lahir, Nur Feelisya Aral Muhamad Arif, memerlukan sumbangan orang ramai sebanyak RM90,000 bagi menjalani pembedahan jantung dengan segera.

Bayi kepada pasangan muda dari Permatang Pauh, Muhamad Arif Abdul Wahab, 24, dan Nur Izzah Aqilah Zainol Abidin, 23, itu disahkan menghidap kecacatan jantung kongenital yang kompleks sejak lahir pada 30 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Muhamad Arif berkata, bayinya dilahirkan secara pembedahan dalam posisi songsang dan ditempatkan di inkubator selepas lahir kerana mengalami tahap oksigen dalam badannya turun.

Menurutnya, pemeriksaan awal menunjukkan terdapat lubang pada jantung bayinya itu selain saluran darah yang bertukar posisi, iaitu menghidap Total Anomalous Pulmonary Venous Drainage (TAPVD) dan Atrial Septal Defect (ASD).

Iklan

"Nur Feelisya telah dibenarkan pulang kerana masih boleh bernafas sendiri selepas seminggu dirawat.

"Tetapi semasa di rumah, dia kerap penat selain mengalami sianosis (kebiruan) ketika minum susu.

Iklan

"Berat badannya juga telah menurun daripada 2.8 kilogram (kg) kepada 2.69 kg dan memerlukan pembedahan jantung secepat mungkin," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Muhamad Arif berkata, bayinya itu juga tidak mempunyai dubur dan bergantung kepada saluran melalui faraj untuk membuang najis, yang meningkatkan risiko jangkitan bakteria.

Jelasnya, pembedahan membaiki dubur perlu dilakukan juga, tetapi perlu menjalani pembedahan jantung terlebih dahulu.

Beliau berkata, dia dan isteri hanya mampu menampung RM10,000 daripada kos pembedahan yang mencecah RM100,000 hasil sumbangan keluarga, dan memohon bantuan orang ramai bagi mengumpul baki wang yang belum mencukupi.

Sementara itu, Pengerusi badan amal One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau, berkata pihaknya berbesar hati membantu mengumpul sumbangan RM90,000 lagi selepas pasangan tersebut tampil ke pejabatnya di sini.

"Bapa bayi bekerja sebagai operator kilang, manakala ibunya telah berhenti kerja sebagai operator kilang sejak mengandung.

"Kami amat mengharapkan sumbangan orang ramai dapat disalurkan agar pembedahan dapat dilakukan," katanya.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817).