DALAM dunia pelancongan moden, konsep edutourism atau pelancongan pendidikan semakin mendapat tempat.
Ia bukan sekadar melancong untuk berseronok, tetapi juga memberi peluang menimba ilmu, memahami budaya dan menyelami nilai-nilai masyarakat.
Di sinilah potensi besar yang sedang diteroka oleh Kolej UNITI Port Dickson melalui pelancaran lima pakej edutourism halal pada Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Jepun yang sedang berlangsung di Kansai.
Pelancaran diadakan di pentas antarabangsa iaitu Pavilion Malaysia yang menghimpunkan pelbagai inisiatif, teknologi dan budaya tanah air.
Kolej UNITI menonjol melalui pendekatan yang menggabungkan ilmu halal, pengalaman antarabangsa dan penjenamaan Malaysia sebagai hab pendidikan halal global.
Sepanjang seminggu di Osaka, penulis menyaksikan minat tinggi pengunjung terhadap program edutourism halal.
Bukan sahaja pelawat Jepun, malah pengunjung dari Timur Tengah, Eropah dan Asia Tenggara turut bertanya lanjut. Sejak 22 Julai lalu, reruai Kolej UNITI menerima kunjungan tanpa henti.
Ada yang ingin tahu mengenai sijil halal Malaysia, latihan penyembelihan halal dan peluang menghantar anak belajar di Malaysia.
Lawatan industri halal, kuliah lapangan
Menurut beliau, sambutan lima pakej itu membuktikan edutourism berdaya maju dan memenuhi permintaan pasaran pendidikan global.
Lima pakej utama halal edutourism yang ditawarkan oleh Kolej UNITI adalah Halal Hospitality Unveiled: Culinary Experience to Cultural Values, Halal Bites & Sights: A Malaysian Adventure, Halal Livestock: From Farm to Fork, Halal Biz: Go Global, Grow Big! dan Adat Perpatih Heritage Journey: Exploring Negeri Sembilan's Cultural Legacy.
Kesemua pakej menyasarkan pelajar antarabangsa dan pelancong luar negara yang ingin memahami budaya Malaysia dan industri halal tanah air.
Jepun merupakan pasaran strategik. Dengan populasi lebih 120 juta dan kesedaran halal yang meningkat, negara itu membuka ruang luas kepada program seperti yang ditawarkan Kolej UNITI.
Kongsi keunikan sistem halal Malaysia
Sepanjang berada di Ekspo Dunia 2025, produk dan perkhidmatan halal bukan lagi asing di Jepun. Banyak premis menjual makanan berlogo halal tempatan, restoran mesra Muslim bertambah, malah kemudahan surau selesa disediakan.
Trend itu membuktikan kesedaran gaya hidup halal di Jepun sedang berkembang.
Tidak hairan pengunjung Jepun tertarik dengan konsep edutourism halal yang memenuhi keperluan agama sambil membuka ruang memahami budaya lain.
Sebagai sebahagian promosi di Ekspo Dunia 2025, satu sesi perkongsian (pocket talk) di Pavilion Malaysia dikendalikan oleh Pengarah UNITI Halal Centre, Ustaz Muhamad Elyas Harun yang berkongsi tentang keunikan sistem halal Malaysia dan peluang menjadi rakan strategik Jepun dalam membangunkan rantaian halal domestik mereka.
Pengunjung Jepun aktif bertanya mengenai pensijilan halal, sistem pemantauan dan peranan pihak berkuasa agama di Malaysia.
“Jepun mempunyai sistem kawal selia makanan yang sangat baik, tetapi mereka perlukan rakan yang memahami halal secara menyeluruh dari perspektif Islam. Di sinilah Malaysia boleh membantu,” jelas Elyas dalam sesi tersebut.
Peranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga wajar diberi dipuji kerana memberi sokongan penuh kepada institusi pengajian tinggi seperti Kolej UNITI untuk membawa program ke pentas global.
Melalui inisiatif seperti Promosi Pendidikan Malaysia, KPT membuka lebih banyak peluang perkembangan edutourism.
Pastinya Malaysia dengan kelebihan sistem pensijilan halal, tenaga pakar dan institusi pendidikan seperti Kolej UNITI dan UNITI Halal Centre, berada di landasan tepat untuk memimpin.
Kini, terpulang kepada kita memperkukuh ekosistem halal, melahirkan lebih ramai profesional berkelayakan dan menjadikan edutourism halal sebagai jambatan penghubung antara ilmu, budaya dan kepercayaan di pentas global.
*Artikel ditulis oleh Ahmad Syakir Sazili, Pengarah Komunikasi Korporat UNITI Halal Centre