MALAYSIA diberikan penghormatan menjadi tuan rumah Kejohanan Angkat Berat Asia Tenggara (SEA) 2026 yang dijadual berlangsung di Kuching, Sarawak dari 20 hingga 24 Jun tahun depan.
Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, kejohanan yang akan diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Kuching Selatan itu bakal menghimpunkan penyertaan semua negara anggota Persekutuan Angkat Berat Asia Tenggara (SEAWF).
Iklan
Iklan
Menurutnya, penganjuran ini juga menjadi sebahagian daripada persiapan awal Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.
Malah jelas Ayub, PABM turut mencadangkan acara angkat berat pada temasya dwitahunan itu diadakan di Kuching.
“Penganjuran kejohanan yang turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan serta Kerajaan Sarawak bertujuan memperkukuh kerjasama serantau, memupuk semangat kesukanan, mengembangkan sukan angkat berat di Asia Tenggara serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia.
“Pada masa sama, ia berpotensi mempromosikan Sarawak sebagai destinasi sukan bertaraf antarabangsa,” katanya kepada Sukan Sinar.
Ayub juga memaklumkan, kejohanan akan dijalankan mengikut peraturan teknikal dan pertandingan terkini Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) dengan penggunaan peralatan yang diluluskan badan tersebut.