Jangan takut tegur pemimpin - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) meninjau tapak projek menaik taraf dan pengubahsuaian Asrama Anak Kedah di Hayyu Sabiek, Kaherah baru-Baru ini.

ALOR SETAR - Mahasiswa Kedah dinasihatkan supaya berani menegur pemimpin yang melakukan kesilapan, namun ia perlu dilakukan secara berhemah berlandaskan ilmu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, generasi masa depan perlu mempunyai keberanian bersuara tanpa dipengaruhi kepentingan diri atau persepsi orang lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, fenomena dunia masa kini menyaksikan pemimpin yang berbuat salah dibiarkan kerana mempunyai kuasa dan menyebabkan rakyat takut bersuara, sedangkan kebenaran perlu ditegakkan.

“Kita mahu generasi akan datang berilmu dan ada keberanian untuk sandarkan pada ilmu bukan pada kepentingan diri.

Iklan

“Tidak ada apa perlu dibimbangkan. Tegurlah pemimpin jika dia silap dengan sentuhan ilmu, bukan berdasarkan emosi atau kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pesanan kepada mahasiswa Kedah dalam Majlis Ramah Mesra Akrab'25, di Kaherah, Mesir, sempena lawatan kerja ke negara berkenaan baru-baru ini.

Iklan

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut mengingatkan mahasiswa agar berhati-hati dengan ancaman penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) yang mampu memalsukan perwatakan seseorang sehingga menyebabkan berlaku kekeliruan fakta.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana kenyataan palsu yang disandarkan kepada pemimpin boleh mengakibatkan mereka tersilap memberi jawapan, termasuk di Parlimen,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mahasiswa agar menghidupkan ilmu yang dimiliki kerana ia memberi manfaat kepada diri dan orang lain.

“Walaupun ramai raih kelulusan tinggi seperti ijazah doktor falsafah (PhD) ilmu tersebut tidak membawa manfaat jika tidak diamalkan.

“Ada orang belajar pondok sahaja, tetapi ilmunya hidup dan dapat menyelesaikan masalah masyarakat,” ujarnya.

Dalam pertemuan itu, Muhammad Sanusi turut menekankan peranan Kedah sebagai penyumbang utama makanan negara dengan membekalkan 43 peratus keperluan beras.

“Kedah menyimpan 343,000 hektar hutan sebagai kawasan tadahan air dan mengekalkan tanah sawah demi menjamin bekalan padi negara.

“Jika kita tidak menanam padi dan tidak memelihara hutan, negara terpaksa mengimport beras dengan kos melebihi RM3,000 satu tan, sekali gus berlaku aliran wang ke luar negara berbanding kos kita hasilkan sendiri sekitar RM1,600 hingga RM2,000 satu tan.

“Biarpun Kedah bukan negeri kaya, kita memainkan peranan besar memastikan rakyat menikmati beras tempatan pada harga berpatutan. Kita kena ulang perkara ini supaya mereka nampak kepentingan Kedah,” katanya.

Tambah beliau, Kedah sentiasa menjadi tumpuan pihak lawan mahupun kawan dalam pelbagai isu dibangkitkan.

“Kedah tidak tercorot malah makin berkembang. Ramai orang suka cakap mengenai Kedah, sama ada yang baik dijadikan contoh, atau buruk dijadikan cemuhan atau baik tetapi diputar belit untuk timbulkan keburukan,” katanya.

Menurut Muhammad Sanusi, dalam lawatan kerja itu, beliau bersama delegasi Kedah turut meninjau projek naik taraf asrama pelajar, Asrama Darul Aman 3 di Akhir Sabia’, Kaherah, melibatkan kos RM7 juta yang dibiayai kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

“Bangunan setinggi 10 tingkat itu apabila siap diubah suai mampu menempatkan 108 pelajar pada satu-satu masa.

“Delegasi diberikan taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) berkenaan kerja-kerja naik taraf dan pengubahsuaian Asrama Anak Kedah di Hayyu Sabiek, Kaherah,” katanya.